Oleh Mubarak Ismail
27 April 2022, 15:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mensasarkan 20 kolaborasi penyelidikan bersama industri dengan 48 geran industri baharu pada tahun 2022. Manakala 14 kolaborasi penyelidikan antarabangsa dengan 10 geran antarabangsa baharu pula disasarkan pada peringkat antarabangsa,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam majlis perasmian kempen “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan” bersempena Hari Harta Intelek Sedunia 2022 dengan kerjasama UniMAP yang disambut pada 26 April setiap tahun

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang hak intelektual bagi paten, hak cipta, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian yang memberikan kesan kepada kehidupan seharian serta untuk meraikan kreativiti dan sumbangan yang dibuat oleh para pencipta dan inovator kepada pembangunan masyarakat di seluruh dunia.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menjelaskan bahawa Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP telah mendapat pengiktirafan sebagai “Institut Penyelidikan yang Diluluskan” daripada Menteri Kewangan Malaysia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 34B, Akta Cukai Pendapatan 1967 bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026 dengan semakan semula status setiap lima tahun.

Dengan pengiktirafan ini, syarikat-syarikat yang menyumbang wang tunai untuk aktiviti penyelidikan atau menggunakan perkhidmatan di Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP layak mendapat potongan cukai pendapatan dua kali (double tax deduction) dengan mematuhi definisi penyelidikan yang diperuntukkan dalam Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putera turut berharap agar perolehan dana industri di UniMAP akan meningkat dengan kewujudan pengiktirafan ini sekali gus menyumbang kepada pencapaian pelbagai KPI, penarafan dan pemeringkatan universiti berkenaan.

Selain itu, Naib Canselor UniMAP, Lt. Kol. Prof. Dr. Ts. Zaliman Sauli turut berkata, UniMAP akan cuba menyediakan dana bagi pengurusan dan pengiktirafan makmal penyelidikan oleh badan akreditasi yang berkaitan dalam memastikan para penyelidik dan pelajar-pelajar pascasiswazah mempunyai akses pada makmal yang bertaraf antarabangsa.

Di samping itu, UniMAP juga sedang merangka program insentif penyelidikan, iaitu sebahagian daripada yuran pengajian diberikan kepada penyelia pascasisawazah dalam bentuk geran penyelidikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.