Oleh Mubarak Ismail
28 April 2022, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa imbasan MySejahtera tidak perlu lagi dilakukan oleh warga pendidikan dan pelawat luar jika memasuki kawasan sekolah.

Di samping itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dalam ruangan tertutup di sekolah, seperti pusat sumber dan bilik darjah. Namun begitu, terdapat pengecualian tertentu, iaitu guru dan pelajar bebas untuk tidak memakai pelitup muka seperti semasa berada bersendirian di dalam kelas, mengajar di hadapan kelas bagi guru atau sewaktu melakukan aktiviti sukan dan rekreasi, termasuklah aktiviti pendidikan jasmani.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Sidang Media Khas Menteri Kanan Pendidikan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada hari ini.

YB Datuk Dr. Radzi sedang memberikan penerangan dalam sidang media pada hari ini.

Menurut Datuk Dr. Radzi, perkara itu merupakan antara pengoperasian institusi yang baharu dan terkini di bawah kementerian selaras dengan kelonggaran prosedur operasi standard yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.

Datuk Dr. Radzi turut berkata, kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah, individu berkeperluan khas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan juga bebas tidak memakai pelitup muka berdasarkan rekod kesihatan diri masing-masing. Di samping itu, jika murid-murid berada di luar bangunan atau di kawasan terbuka, pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan tetapi amat digalakkan.

Dalam sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa tiada lagi amalan penjarakan fizikal di dalam kawasan sekolah atau institusi di bawah kementerian, sebaliknya penjarakan fizikal amat digalakkan jika keadaan murid tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, guru yang tidak divaksinasi dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas dan ketika berada di bilik guru. Walau bagaimanapun, kumpulan guru terbabit perlu mematuhi Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah yang telah ditetapkan terutamanya berkaitan dengan pemakaian pelitup muka.

Datuk Dr. Radzi turut memaklumkan bahawa kehadiran pelajar ke sekolah dan institusi di bawah KPM adalah diwajibkan bermula 1 Mei 2022, namun pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai sebab yang tertentu termasuklah individu yang positif COVID-19.

“Mengenai waktu rehat pula, para pelajar dan guru-guru dibenarkan untuk makan di kantin seperti biasa, manakala aktiviti sukan yang melibatkan pertandingan antara sekolah, pertandingan peringkat daerah mahupun negeri juga dibenarkan berlangsung seperti biasa dengan syarat tiada individu positif COVID-19 yang menyertai aktiviti berkenaan.

Etika dan syarat pemakaian baju seragam sekolah serta tatahias diri seperti rambut panjang dan sebagainya terus diberikan kelonggaran sehingga sesi penggal persekolahan kedua. Namun begitu, pelajar diwajibkan memakai pakaian seragam sekolah bermula pada 12 Jun ini,” ujar Datuk Dr. Radzi.

Jelas Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, bagi pelajar yang bersekolah asrama, aktiviti bersiar-siar dan pulang bermalam di kediaman keluarga turut dibenarkan. Ibu bapa juga dibenarkan untuk melawat anak atau jagaan mereka di asrama sekolah seperti biasa tanpa sebarang halangan dan syarat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.