1 Mei 2022, 22:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Integriti secara amnya merupakan cerminan daripada sifat jujur, bertanggungjawab, boleh dipercayai, berdedikasi dan lain-lain lagi. Berintegriti merupakan satu daripada sifat terpuji yang wajib bagi seorang yang bergelar manusia.

Pekerja pula merupakan mereka yang mencari rezeki dengan memperoleh gaji atau upah dan tertakluk pada peraturan tugas bagi memastikan mereka menghasilkan mutu kerja yang memuaskan seperti yang diamanahkan.

Kecemerlangan seseorang pekerja adalah lambang kejayaan dalam perkhidmatannya. Untuk mencapai tahap kecemerlangan, setiap pekerja perlu menanam azam, beriltizam, menguasai ilmu dan kemahiran bagi melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Pencapaian ini akan terlaksana jika setiap pekerja melaksanakan tugasnya dengan terbaik, sempurna dan penuh tanggungjawab serta berintegriti. Integriti dalam pekerjaan terbukti mampu mendorong seseorang pekerja supaya dapat menyempurnakan tugas dengan teratur dan mengikut perincian kerja dan masa yang ditetapkan.

Pekerja yang dilantik pastinya terdiri daripada kalangan yang terpilih bagi melaksanakan tugas. Pemilihan pekerja juga sudah tentu dengan harapan pekerja itu dapat menjadi pekerja terbaik kerana amanah yang diserahkan kepadanya. Pemilihan pekerja yang terbaik merupakan tuntutan dalam organisasi khususnya organisasi yang memberikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dan orang awam.

Sehubungan dengan itu, sebagai pekerja, kita seharusnya bersyukur sekiranya diberikan amanah untuk menguruskan kepentingan awam. Hal ini menandakan betapa kita memiliki kelebihan yang tidak ada pada orang lain sehingga diberikan kepercayaan penuh mentadbir hak-hak orang ramai.

Berintegriti dalam pekerjaan samalah dengan usaha untuk menunaikan janji yang wajib ditunaikan berdasarkan perjanjian atau aku janji penyerahan tugas oleh majikan dan penerimaan tugas oleh pekerja.

Setiap pekerja perlu menghayati nilai-nilai amanah dalam melaksanakan tugas. Sebagai pekerja, kita perlu memelihara integriti dalam pekerjaan dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab kerana pekerjaan bukan sekadar melaksanakan tugas, malah juga untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga kita.

Setiap pekerja tertakluk pada peraturan kerja yang ditetapkan oleh majikan serta gaji yang setimpal dengan tugas yang diamanahkan. Pelaksanaan tugas seperti ditetapkan perlu diusahakan bagi memastikan pendapatan yang diterima benar-benar bersih dan berhak diterima.

Jika seseorang pekerja tidak berintegriti dalam melaksanakan amanah tugasnya dengan sempurna atau bersikap curi tulang, bermakna dia tidak berhak ke atas hasil gajinya. Situasi ini sama dengan perbuatan mereka yang membuat tuntutan palsu, menyeleweng dan terlibat dengan rasuah. Biarpun kurang terdedah untuk tindakan undang-undang, pekerja yang tidak berintegriti ini sebenarnya lebih hina dan jijik daripada penjenayah mahupun pelaku rasuah.

Oleh itu, marilah kita bersama memelihara dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti tanpa mengambil kesempatan untuk mendapat faedah atau kepentingan diri. Setiap daripada kita perlu sentiasa memberikan komitmen yang terbaik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab agar menepati piawaian terbaik yang mampu dilakukan bukan sahaja untuk majikan dan organisasi, bahkan demi keberkatan rezeki sendiri serta keluarga yang disayangi. Selamat Hari Pekerja!


Penulis, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.