Oleh Rosmani Omar
4 Mei 2022, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Sedar tidak sedar, sudah masuk tahun ketiga masyarakat hidup dalam era COVID-19. Dalam tempoh itu, pelbagai perubahan dan keputusan terpaksa dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Rakyat Malaysia umumnya dan Perlis secara khususnya juga bersyukur kerana berjaya mengharunginya walaupun diduga dengan seribu satu cabaran.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Adzmi Safar 69 tahun di Repoh dekat Kangar baru-baru ini. Adzmi merupakan  penerima sumbangan Sara Hidup Berkala MAIPs dan juga telah dicadangkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid kariah berkenaan untuk dipertimbangkan sebagai penerima penerima Bantuan Baik Pulih Rumah daripada pihak MAIPs.

 

Raja Muda Perlis, MAIPs, zakat
Tuanku Raja Muda Perlis semasa berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat kepada Adzmi Safar.

Tambah baginda lagi, tanpa kerjasama daripada seluruh rakyat, adalah amat mustahil untuk melaksanakan segala perkara yang dirancang oleh pihak berkuasa dengan baik dan lancar. Selain itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah atas prestasi serta kepatuhan yang telah ditunjukkan oleh semua masyarakat.

Dalam menghadapi fasa endemik ini, Tuanku Raja Muda turut mengingatkan anggota masyarakat agar mengambil peduli dan memahami mengenai fasa endemik dengan lebih jelas dan mengambil inisiatif bagi memastikan kesejahteraan hidup diri sendiri, keluarga tersayang, kejiranan dan rakan-rakan di tempat kerja. Hal ini untuk memastikan kehidupan mereka terus terpelihara dengan sebaik-baik mungkin tanpa sekali-kali cuai dan leka. Menurut baginda, walaupun kini keadaan serta data statistik menunjukkan keadaan agak terkawal, namun virus ini masih wujud. Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi,

Tanpa komitmen serta kerjasama semua pihak, kita tidak akan berjaya mengharungi cabaran yang silih berganti, malah kita tidak akan mampu mengorak langkah ke hadapan. Bak kata pepatah bahasa Inggeris, ‘When people cared about each other, they always found a way to make it work’.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.