Oleh Rosmani Omar
6 Mei 2022, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan perlawanan “Bola Raya 2022” yang diadakan di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada malam semalam. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang DiPertua PPKL, YBhg. Dato’ Syed Moheeb Syed Kamarulzaman serta Timbalan Yang DiPertua, YBhg.  Datin Seri Datuk Hajah Norayini Ali dan Setiausaha PPKL, Encik Anuar Zaki.

Raja Muda Perlis
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua berkenan berangkat menyaksikan perlawanan “Bola Raya 2022”.

Dalam perlawanan tersebut, Pasukan Pilihan Veteran Perlis  berjaya mengalahkan Pasukan Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dengan jaringan gol 3-2. Gol Pasukan Pilihan Veteran Perlis dijaringkan oleh Azizi Mat Ros, Wan Zukri Wan Ya dan Muhd Nizam Ibrahim manakala gol balas Persatuan Perlis Kuala Lumpur pula disumbat oleh Es Ridzuan Zahid Amir dan Muhammad Faris Abdullah Mohd Rosdi.

Raja Muda Perlis bersama-sama pemain “Bola Raya 2022”.

Menerusi perlawanan tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan  menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada para pemain bagi kedua-dua pasukan.

Pertandingan tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran PPKL bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri. Pertandingan “Bola Raya 2022” diadakan untuk mengeratkan silaturahim dan meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis yang pulang berhari raya. Kebanyakan mereka bermastautin di Lembah Kelang.

Raja Muda Perlis bersama-sama anak-anak Perlis yang pulang berhari raya.

Perlawanan bola sepak berkenaan diilhamkan oleh Tuanku Raja Muda ketika baginda masih berkhidmat dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di ibu negara. Pada waktu itu, baginda juga merupakan Pengerusi Portfolio Sukan AJK PPKL.

Perlawanan yang diadakan sejak 1992 itu berjaya diteruskan sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, pada tahun 2020 dan 2021, perlawanan berkenaan tidak dapat diadakan kerana penularan COVID-19 yang melanda negara.

Turut diadakan khas pada malam semalam ialah sesi doa memohon keampunan dan kerahmatan kepada dua orang sahabat dan pendokong utama pasukan PPKL sejak awal penubuhannya yang telah meninggal dunia, iaitu Allahyarham Mohd Rosdi Sudin dan Allahyarham Kapten Abdul Halim Abdul Hamid. Doa dipimpin oleh Ustaz Mohd Wafiq Desa dari Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri Perlis, iaitu Tuan Haji Zepri Saad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Encik Anuar Abidin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.