7 Mei 2022, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyempurnakan Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs – Wilayah Satun 2022 di Kompleks ICQ Wang Kelian, Perlis.

Wang Kelian – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian di Perlis segera dinaik taraf.

“Sudah tiba masanya, fasiliti yang menempatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan negara di Wang Kelian dilengkapi dengan kemudahan yang sempurna dan persekitaran kerja yang kondusif sebagai pemangkin kepada perkhidmatan yang terbaik.”

Tambah baginda, semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab harus menyelia kompleks berkenaan.

Menurut Tuanku Raja Muda, Kompleks ICQ Wang Kelian wajar dinaik taraf agar sekurang-kurangnya setanding dengan Kompleks ICQ Wang Prachan di Thailand  bagi menjaga imej negeri Perlis dan juga negara Malaysia, yakni sebagai barisan hadapan dan merupakan satu daripada “Pintu Masuk Negara”.

Titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Mahabbah Aidilfitri MAIPs – Wilayah Satun 2022, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kompleks ICQ Wang Kelian pada tengah hari semalam.

Turut hadir mengiringi baginda dalam program ini ialah Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd. Shokri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Sempena kunjungan tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kuih raya kepada petugas sempadan Malaysia dan Thailand, selain turut berkenan mengagihkan kuih raya kepada komuniti Muslim di Wilayah Satun.

Mengulas lebih lanjut tentang aktiviti saban tahun ini, MAIPs mempunyai hubungan kolaborasi strategik dengan Majlis-Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman di Selatan Thailand melalui pelbagai bidang, antaranya termasuklah pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan, bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.