9 Mei 2022, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat di Washington Daerah Columbia pada 12 dan 13 Mei 2022.

Sidang Kemuncak Khas ini diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN–Amerika Syarikat yang merupakan landasan strategik bagi ASEAN dan Amerika Syarikat untuk mengkaji dan meneroka bidang kerjasama yang pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

Selain itu, Sidang Kemuncak Khas ini bakal membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama, kerjasama ekonomi, COVID-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim dan tenaga bersih.

Pada masa yang sama, Sidang Kemuncak Khas ini dijangka bakal mengeluarkan Kenyataan Visi Bersama yang menggariskan komitmen dan aspirasi bagi meningkatkan kerjasama antara ASEAN dengan Amerika Syarikat.

Delegasi Malaysia akan diketuai oleh YAB Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut mengikuti delegasi ini ialah pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan MITI.

YAB Perdana Menteri bersama-sama pemimpin ASEAN lain dijadualkan untuk mengikuti beberapa siri mesyuarat dan diskusi dengan Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat.

Program lain yang disusun oleh pihak Amerika Syarikat termasuklah sesi bersama Kepimpinan Kongres Amerika Syarikat, anggota Kabinet Amerika Syarikat dan pemimpin perniagaan Amerika Syarikat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.