13 Mei 2022, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sejak konsep Sekolahku SEJAHTERA diperkenalkan oleh YB Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, agenda memperkasakan dan menghayati konsep ini secara holistik terus giat dilaksanakan pada setiap ruang dan kesempatan. Warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) giat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi merealisasikan aspirasi ini.

Oleh hal yang demikian, Sambutan Hari Guru pada kali ini memerlukan warga KPM terus mempergiat usaha melahirkan generasi murid berwawasan tinggi seperti yang terkandung dalam 14 elemen Sekolahku SEJAHTERA. Sambutan Hari Guru diraikan bagi melahirkan warga pendidik yang berkaliber, membina generasi Keluarga Malaysia yang menjadi modal insan, seterusnya lahir sebagai warganegara yang berbakat dan berprestasi tinggi dalam merealisasikan generasi hebat dan berdaya saing.

Beberapa hari sahaja lagi sambutan Hari Guru 2022 akan diadakan dan negeri Kelantan dipilih menjadi tuan rumah Majlis Sambutan dan Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51. Sudah tentu hari bersejarah ini menjadi peristiwa penting kepada seluruh warga KPM dalam meraikan golongan pendidik serta seluruh karyawan KPM dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka mendidik dan mengasuh anak bangsa.

Majlis sambutan dan pelancaran tahun ini bertemakan “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” dikelolakan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang akan diadakan di Kampus Bachok, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pada 16 Mei 2022 dan akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Pada majlis ini juga, YAB Perdana Menteri bakal mengumumkan Tokoh Guru Kebangsaan 2022 dan Tokoh Kepimpinan Kebangsaan 2022.

Sebelum acara kemuncak sambutan dan pelancaran pada 16 Mei 2022 (Isnin), juga bertempat di Dewan Tuanku Canselor, UMK, akan berlangsung Sesi Libat Urus Bersama YB Menteri Kanan Pendidikan dan Forum Hari Guru 2022 pada 14 Mei 2022 (Sabtu), yang akan menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff, Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan YBhg. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala moderator forum ini ialah YBrs. Dr. Mardiana Ab. Jabar, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi dan Warisan, UMK.

Forum ini akan membincangkan tema Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA dari pelbagai perspektif yang pastinya akan mendedahkan kaedah dan pendekatan yang lebih dinamik, komprehensif dan kreatif dalam mendepani cabaran serta kedinamikan pendidikan alaf 21 ini.  Semua Keluarga Malaysia dijemput hadir menyaksikan forum ini yang akan disiarkan secara langsung menerusi FB Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mulai esok.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.