Oleh Aninah Janang
15 Mei 2022, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Sebagai usaha berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu di negara ini dan memperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), akan menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang akan dijadualkan pada 22 Mei 2022 hingga 24 Mei 2022.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri, simposium selama tiga hari itu akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pada 22 Mei 2022, pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Sementara itu, majlis penutupannya dijadualkan pada 24 Mei 2022, pukul  5.00 petang hingga 6.30 petang yang akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bakal berlangsung buat julung-julung kalinya ini akan menyaksikan tiga ucap utama, 15 sidang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh 60 tokoh dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan antarabangsa, serta dua forum melibatkan 12 tokoh. Simposium ini juga akan diserikan dengan pelbagai program lain dalam kerangka untuk memartabatkan bahasa Melayu di dalam negara dan memperluas penggunaannya pada peringkat ASEAN dan antarabangsa seperti pameran, sayembara dan debat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.