16 Mei 2022, 21:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Turut mengiringi DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke majlis Wacana Wangsa Jamalullail Siri III ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda YAM Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke majlis Wacana Wangsa Jamalullail Siri III bagi menyempurnakan pelancaran Garis Panduan Tatacara Memainkan dan Menyanyikan Lagu Rasmi Negeri Perlis Aamiin-aamiin pada hari ini.

Majlis Wacana Wangsa Jamalullail Siri III anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang ke-79.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Malaysia.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Malaysia merangkap Ahli Jawatankuasa MAIPs menyampaikan dan memerihalkan lagu kebesaran negeri Perlis melalui pembentangan “Sesi Lagu Rasmi Negeri Perlis”.

Menurut beliau, setiap negeri atau negara mempunyai tiga jati diri yang lazim, iaitu bendera (sebagai keperibadian negeri/negara), jata dan lagu negeri.

“Lagu ini telah diperkenankan oleh Raja Syed Alwi Jamalullail. Pada peringkat awal, lagu ini dikenali dengan nama ‘Puji Raja’ dan kemudian ditukar kepada nama Aamiin-Aamiin yang membawa maksud ‘perkenankanlah kehendaknya, Ya Allah’.

“Terdapat juga perubahan pada perkataan ‘Rabbal Jalil’ kepada ‘Rabbil Jalil’ pada seni katanya mengambil kira ketepatan tatabahasa Arab,” kata YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial ketika majlis berlangsung di Auditorium Dr. Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jalan Raja Syed Alwi, Kangar, Perlis pada petang tadi.

Pengarah Bahagian Perkhdimatan Muzik RTM, YBhg. Datuk Mokhzani Ismail dalam majlis tersebut menghadap dan mempersembahkan skor gubahan lagu Aamiin-aamiin ke hadapan DYMM Raja Perlis.

Bagi memperkukuh jati diri menerusi lagu Perlis, Enakmen Lagu Perlis 2021 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis pada 9 Disember 2021 dan diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 25 Januari lalu.

Tatacara menyanyikan lagu rasmi negeri Perlis dilakukan sebagai tanda hormat dan menunjukkan sikap merendah diri, sesuai dengan isi kandungan.

Selain itu, garis panduan berkenaan turut menjelaskan bahawa Seksyen 4 Enakmen Lagu Negeri Perlis 2021 menetapkan semua yang mendengar agar berdiri sebagai tanda hormat dengan berdiri dalam keadaan sedia, kepala menunduk sedikit bagi menunjukkan sikap merendah diri, sesuai dengan isi kandungan lagu.

Walau bagaimanapun, tatacara berkenaan dikecualikan ketika meraikan kemenangan dalam program sukan atau ketika Bendera Negeri sedang dinaikkan.

Keberangkatan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke majlis ini turut diiringi oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra.

Turut diadakan ialah pembentangan “Pelan Pembangunan Negeri Perlis” oleh Encik Rusdi Yahya, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Perlis dan “Pelan Strategik MAIPs 2021-2025” yang dikongsikan oleh Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs.

Dalam sesi pembentangan berkenaan, Encik Rusdi Yahya berkata, negeri Perlis berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi yang sangat luas kerana Perlis terletak dalam satu kawasan segi tiga sektor pembangunan, iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand yang disebut sebagai IMT-GT, seiring dengan aspirasi DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dalam memajukan pelbagai sektor.

Sementara itu, Ustaz Haji Mohd Nazim Mohd. Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs berkata bahawa MAIPs menyokong penuh usaha kerajaan dalam memberikan impak positif kepada seluruh masyarakat negeri Perlis. Oleh itu, MAIPs akan memastikan pemantapan agihan zakat secara holistik kepada golongan sasar.

Mengulas lebih lanjut, Wacana Wangsa Jamalullail Siri III menunjukkan bahawa Garis Panduan Lagu Rasmi Negeri Perlis diberikan penekanan kepada dua versi lagu, iaitu Versi DiRaja (lagu negeri tanpa nyanyian yang hendaklah dimainkan pada mana-mana peristiwa sebagaimana yang diperkenankan oleh Tuanku Raja), manakala versi penuh, iaitu lagu negeri dengan nyanyian yang boleh dimainkan dan dinyanyikan pada majlis rasmi atau separa rasmi bagi maksud menghormati lagu negeri, termasuklah di sekolah atau majlis.

Salam Perlis, Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.