18 Mei 2022, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Kamarudin Jaffar bakal mengadakan lawatan kerja ke Republik Uzbekistan pada esok hari hingga 21 Mei 2022 diikuti dengan lawatan ke Republik Kazakhstan bermula pada 22 Mei hingga 25 Mei 2022.

Timbalan Menteri akan diiringi oleh pegawai Kementerian Luar Negeri (KLN) sepanjang lawatan tersebut dan beliau akan mengikuti beberapa aktiviti rasmi di kedua-dua buah negara seperti yang dijadualkan.

Di Uzbekistan, Timbalan Menteri dijadualkan untuk membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perdagangan Luar dan Pelaburan, Pemangku Menteri Luar Negeri serta Speaker Dewan Rakyat Uzbekistan.

Sementara itu, beliau akan bertemu dengan rakan sejawat dan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri (Menteri Perdagangan dan Integrasi) serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Pertahanan di Kazakhstan.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada yang memberikan manfaat pada Malaysia dan negara tersebut, dalam masa yang sama meneroka sinergi strategik baharu dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan, bantuan kerjasama teknikal dan kerjasama kesihatan.

Selain itu, lawatan ini turut diadakan agar Malaysia dapat bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa pada peringkat serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Dalam tempoh Januari hingga Oktober 2021, kedua-dua buah negara Asia Tengah ini masing-masing merupakan rakan dagang Malaysia terbesar dan kedua terbesar, iaitu Kazakhstan, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM359.79 juta dan Uzbekistan dengan jumlah RM187.82 juta.

Tahun 2022 merupakan ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan dua buah negara Asia Tengah tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.