19 Mei 2022, 13:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDDPs) akan menganjurkan “Majlis Santapan Malam 2022” pada 1 Julai 2022 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur bermula pukul 8.00 malam. Majlis ini merupakan acara tahunan pihak JDDPs bertujuan untuk meraikan dan memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis.

Raja Perlis,  Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis,  Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama-sama Raja Muda, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut.

Demikian dimaklumkan oleh Presiden JDDPs, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (Bersara) semasa Majlis Santapan Tengah Hari sempena Mesyuarat Agung Tahunan Jemaah Dato’-Dato’ Perlis di Hotel Putra Regency, Kangar semalam.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut yang mana pada sebelah paginya telah diadakan pemilihan Mejar Jeneral Datuk Husin sebagai Presiden JDDPs yang baharu dan Profesor Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Kamarudin Hussin sebagai Timbalan Presiden untuk tempoh dua tahun. Dato’ Haji Talib Haji Ali kekal memikul tugas Setiausaha dan Dato’ Ir. Hj. Mohd. Yusoff Hj. Mustafa pula selaku Bendahari.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung kepada Jemaah Dato’-Dato’ Perlis sejak awal penubuhannya sentiasa mengikuti secara dekat akan perkembangan dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak JDDPs. Baginda menyeru lebih banyak Dato’-Dato’ Perlis yang bilangannya meningkat setiap tahun, secara sukarela mendaftarkan diri untuk menganggotai JDDPs bagi sama-sama menyumbang dari segi idea yang bernas, kudrat atau wang ringgit untuk membolehkan aktivitinya berjalan sepertimana yang diharapkan.

Tuanku Raja Muda juga menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama serta sokongan pelbagai pihak termasuklah syarikat-syarikat korporat yang sentiasa membantu.

Pada masa yang sama juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang datang dari jauh dan juga dekat untuk bersama-sama memeriahkan lagi sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis ke-79 pada tahun ini setelah ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.