19 Mei 2022, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-79 di Balai Bankuasi Istana Arau pada Selasa malam.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Perlis bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan baginda serta pelbagai agensi dan organisasi yang terlibat atas usaha berterusan membangunkan negeri ini dan membantu rakyat, terutama ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Sepertimana komen-komen positif mengenai negeri Perlis, baginda juga melihat kehidupan rakyat di negeri ini semakin baik. Sektor perniagaan khususnya kedai makan kini semakin rancak dan baginda berharap agar usaha-usaha membangunkan negeri ini dapat diteruskan.

Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis turut berkenan memotong kek yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dari jauh dan dekat untuk sama-sama meraikan istiadat yang disempurnakan pada sebelah pagi.

Pada masa yang sama, baginda juga menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang sentiasa mendoakan baginda seisi keluarga supaya terus dilimpahi berkat, kebahagiaan dan juga rahmat serta dikurniakan kesihatan dan keselamatan yang berpanjangan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.