Oleh Mubarak Ismail
19 Mei 2022, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Semasa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke-79 yang berlangsung di Balairung Seri Istana Arau, Perlis, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kepimpinan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merupakan suri teladan berharga buat rakyat jelata di negeri Perlis kerana baginda merupakan pemimpin yang disayangi ibarat “kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan”.

Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail lagi, baginda Tuanku Raja Perlis seorang pemimpin yang bijaksana umpama “bayang-bayang sepanjang tubuh, selimut sepanjang badan” di samping keputusan yang dilakukan baginda sentiasa adil dan saksama ibarat “datar bak lantai papan, licin bak dinding cermin”. Selain itu, Tuanku Raja Perlis juga seorang pemimpin yang menjadi tempat rakyat berpaut dan berharap umpama “condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan”.

Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mempersembahkan ucapan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan selagi hayat dikandung badan.

Menurut DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Tuanku Raja Perlis dijulang sebagai pemimpin yang hebat, bak “tuah yang disembah, junjung yang dipanjat” di samping cakna menyantuni rakyat, di bibir tak lekang menitahkan nasihat, penuh tenaga dan penuh bersemangat, umpama “seletus bedil berbunyi, mencelur ikan di laut, berkokok ayam di hutan”.

Baginda turut menyentuh tentang  kejayaan Tuanku Raja Perlis memimpin watan tercinta dengan insan yang setia menemani di sisi umpama “serumpun bak serai, sesusun bak sirih” dan “bagai bayang tak luput sesaat, di mata dan di hati tersemat sudah”, dengan suka dan duka ditempuhi dan diharungi bersama-sama. Itulah gerangan ratu hati tercinta, cinta sejati, isteri dan juga ibu mithali, iaitu Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mendoakan semoga negeri Perlis bertambah makmur, seperti “air di dalam dulang,” dan “air jernih, ikannya jinak” serta semoga Tuanku Raja Perlis berdua bertambah sihat, sentiasa dipelihara serta terus bertakhta menelusuri masa hingga ke akhir hayat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.