20 Mei 2022, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sasterawan Negara, Dato’ Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain tampil sebagai pembicara dalam Sesi Bicara Editor dengan tajuk Pengalaman Seorang Editor. Program yang dianjurkan oleh Persatuan Editor Malaysia (PEM) dan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM) ini diadakan di Auditorium Anjung Ilmu, FSSS, UM.

Mengakui pengalaman dalam dunia editor penerbitan buku merangkumi segenap bidang, Dato’ Baha Zain menyatakan bahawa sepanjang bergelar editor, beliau menjadi sangat hampir dan akrab dengan perkembangan bahasa Melayu. Mantan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan editor yang pernah menangani majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Kosmik terbitan DBP ini turut menceritakan kisah dirinya semasa diberikan peluang ke Indonesia untuk mengikuti kursus bahasa. Di sana, beliau dapat menyaksikan pergaulan antara tenaga intelektual untuk mempelajari bahasa dalam sebuah masyarakat ilmu dan sikap orang yang benar-benar sanggup berhadapan dengan apa-apa sahaja cabaran demi memperoleh ilmu. Pengorbanan dan dedikasi terhadap ilmu yang banyak dipelajari daripada tenaga intelektual di Indonesia tersebut demi idealisme membuatkan beliau berasa kagum.

Dato’ Baha Zain sebagai pembicara dalam Sesi Bicara Editor dengan tajuk Pengalaman Seorang Editor.

Mengimbas kenangannya sebagai editor, Dato’ Baha Zain tidak menafikan bahawa beliau juga pernah berhadapan dengan pelbagai kritikan yang mencalarkan nama baiknya sebagai editor. Walau bagaimanapun, cabaran itu haruslah ditangani secara berhemah dan mengikut undang-undang.

“Tugas dan tanggungjawab editor bukan sekadar mengendalikan kegiatan yang bermakna kepada masyarakat pembaca, sebaliknya berani menghasilkan banyak penulisan yang meningkatkan intelektual pembacanya.”

Sesi Bicara Editor yang dihadiri oleh Prof. Dr. Hamedi Mohd Adnan (Presiden PEM), Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid (mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian), Dr. Siti Ezaleila Mustafa (Setiausaha PEM), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia), Encik Mohd Riduwan Wahab (Pengarah DBP Wilayah Selatan), Mohamed Nasser Mohamed (Nuha Creative Resources) dan tetamu undangan yang lain serta diakhiri dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!