21 Mei 2022, 21:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah di PTSS.

Pauh Putra – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Pauh Inn Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra pada hari ini.

Dalam majlis tersebut, baginda bertitah Rejimen Askar Wataniah perlu berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta serta sentiasa berafiliasi dengan masyarakat luar, terutamanya dalam perkara latihan bagi mengoptimumkan perkhidmatan berkenaan.

Di samping itu, peranan dan pelibatan daripada semua pihak juga penting dalam usaha menyokong setiap latihan dan kursus yang dianjurkan oleh pihak rejimen.

Menurut DYTM Tuanku Raja Muda yang merangkap Tuanku Komander rejimen berkenaan,

Selaras dengan pelbagai audit yang telah dihadapi oleh pihak rejimen pada setiap tahun, pengukuhan penyatuan amatlah diperlukan dan dihayati oleh setiap lapisan pegawai dan anggota.

“Kita seharusnya mengkaji dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap teguran yang diberikan oleh Tim Pemeriksa. Sikap menuding jari dan bersangka buruk hanya mengeruhkan keadaan lagi dan sudah pastinya menemui jalan buntu.”

“Oleh itu, marilah bersama-sama sebagai satu rumpun menjernihkan semula sebarang salah faham dan memperbaik setiap teguran bagi meningkatkan kembali pengurusan rejimen ke arah lebih inklusif.

Pada masa yang sama, Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak berkata,

Walaupun menghadapi pelbagai kekangan tugas dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi, tugasan setiap pegawai dan anggota sebagai pasukan keselamatan tetap diteruskan demi menjaga kedaulatan tanah air tercinta.

Keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda ke majlis ini turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.