Oleh Mubarak Ismail
24 Mei 2022, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dengan tema “Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa” yang berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2022 di Wisma DBP, Kuala Lumpur menjadi penanda aras dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan bahasa antarabangsa.

Simposium yang berlangsung menjadi arena kepada ahli akademik, sasterawan, cendekiawan, pejuang bahasa, sarjana, agamawan dan sebagainya untuk menyampaikan cadangan dan pandangan untuk memperkasakan dan memartabatkan kedudukan dan penggunaan bahasa Melayu di persada dunia. Sidang 15 yang berlangsung pada hari terakhir simposium menampilkan barisan panel yang terdiri daripada YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron (Malaysia), YBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman (Malaysia), YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali (Malaysia) dan YBhg. Dato’ Seri Sidek Saniff (Singapura). Manakala, moderator dalam sidang tersebut pula ialah YBhg. Profesor Madya Dr. Arba’ie Sujud (Universiti Putra Malaysia).

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron.

Melalui tajuk “Bahasa, Pendidikan dan Pemikiran”, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron berkata, pada asasnya bahasa mempengaruhi pemikiran, dan pemikiran (idea, konsep, teori) pula mempengaruhi perkembangan bahasa. Tambah beliau lagi, bagi aspek pedagogi yang kreatif untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Bahasa Melayu, kemahiran berbahasa perlu diajar kerana pedagogi PdP yang sempit membawa kepada perkembangan pemikiran pelajar yang terhad dan sempit. Dalam erti kata lain, inti sari PdP Bahasa Melayu perlu merangkumi karya sastera, sains, sains sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya, di samping penggunaan secara bermakna dan kreatif untuk mengembangkan pemikiran pelajar.

Menurut YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Haron, bagi aspek pengaruh bahasa keluarga pula, kerencatan atau penghalang dalam perkembangan pembelajaran dan pemikiran pelajar berlaku apabila pelajar sukar untuk memahami perkara yang ditutur oleh orang lain seperti guru atau tidak faham akan perkara yang dibaca.

Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman.

YBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman pula menjelaskan tentang keutamaan memperbanyak karya bahasa Melayu yang berkualiti dan bermutu tinggi yang diterjemahkan ke dalam bahasa asing bagi mengembangkan dan meningkatkan tahap penggunaan dan pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat asing khususnya di luar negara.

Beliau turut menjadikan sistem penterjemahan pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah sebagai model terbaik bagi mengembangkan dan memperkasakan bidang penterjemahan karya bahasa Melayu di Malaysia.

“Terdapat beberapa pendekatan untuk sistem penterjemahan, antaranya termasuklah kaedah penyerapan untuk mengembangkan khazanah tradisi ilmu sehingga berupaya membuka ruang kepada bangsa asing untuk mengenali, meminati, membaca dan mempelajari karya-karya hasil terjemahan bahasa Melayu,” kata YBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman.

YBhg. Profesor Dr. Asyraf Hj. Ab. Rahman turut menyeru kepada semua para cendekiawan, sarjana dan ahli akademik di Malaysia supaya memperbanyak usaha menulis karya ilmu dalam bahasa Melayu yang merangkumi semua aspek bidang keilmuan agar penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat asing dan para ilmuwan dunia semakin meluas dan dapat dimartabatkan hingga ke persada antarabangsa.

Profesor Dr. Zakaria Ali.

Sementara itu, YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali dengan tajuk kertas kerjanya, iaitu “Bahasa Melayu Alat Bercerita”, menekankan tentang bahasa Melayu sebagai karya seni yang perlu dijaga dan dipelihara. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa seni dan bahasa saling melengkapi menuju ke arah penghayatan.

“Melalui wadah bahasa, watak dan perwatakan yang pelbagai seperti zalim, kejam, setia, bodoh dan derhaka dapat dirakam. Bahasa Melayu itu berkuasa mengolah tema silam yang bersifat legenda dan juga kejadian seharian yang konkrit di samping tinggi adabnya, halus sebutannya, dan lancar naratifnya,” ujar YBhg. Profesor Dr. Zakaria Ali.

YBhg. Dato’ Seri Sidek Saniff.

Berkaitan dengan keutamaan “Bahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-Undang” yang perlu dikuatkuasakan dalam sesebuah negara, YBhg. Dato’ Seri Sidek Saniff menjelaskan bahawa kedudukan bahasa Melayu di Singapura terjamin dengan pengiktirafannya sebagai bahasa kebangsaan Singapura yang termaktub dalam Perlembagaan Republik Singapura.

Menurut YBhg. Dato’ Seri Sidek Saniff, lagu kebangsaan negara Singapura juga dalam bahasa Melayu dan masyarakat Singapura yang majmuk terdedah kepada bahasa Melayu sejak kecil lagi. Selain itu, Singapura juga memperkenalkan Bulan Bahasa sejak tahun 1988 dengan tujuan untuk menggalakkan masyarakat Singapura mempraktikkan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka. Di samping itu, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Singapura bagi memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu termasuklah memperkenalkan gerbang laman Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), iaitu www.bahasawan.org sebagai satu wadah untuk para pelajar, pendidik, penulis dan masyarakat yang lain aktif mempelajari dan berinteraksi dalam bahasa Melayu.

“Ketiga-tiga Perdana Menteri Singapura juga fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka berasa selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu termasuklah dalam majlis-majlis rasmi seperti hari kemerdekaan, hari rapat umum tahunan serta semasa berkempen pilihan raya. Para menteri yang bukan berbangsa Melayu juga mahir bertutur dan berucap dalam bahasa Melayu,” ujar YBhg. Dato’ Seri Sidek Saniff.

Dapat disimpulkan bahawa pelbagai usaha dapat dilaksanakan untuk mengembangkan dan memperkasakan bahasa Melayu. Dengan tekad yang jitu dan usaha yang berterusan yang dilaksanakan oleh semua pihak, bahasa Melayu berupaya untuk dikembangkan dari Malaysia ke serantau ASEAN seterusnya ke peringkat antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.