24 Mei 2022, 21:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa Melayu pernah melalui zaman kegemilangan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi semasa zaman kesultanan Melayu Melaka dari abad ke-13 hingga abad ke-19. Menyedari akan hakikat ini, usaha untuk terus meletakkan kedudukan bahasa Melayu pada kedudukan tertinggi tidak pernah dikesampingkan oleh pejuang bahasa. Terkini, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai rakan kerjasama mengadakan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu demi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan antarabangsa.

Simposium ini disifatkan sebagai usaha Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam siri lawatan beliau ke negara ASEAN dan di negara lain bermula mulai tahun ini.

Sebelum acara penutup yang menyaksikan penyerahan resolusi simposium kepada Ketua Setiausaha Negara, sebuah forum khas bertajuk “Bahasa Melayu Menuju Globalisasi” telah diadakan. Forum ini menampilkan lima orang ahli panel dengan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran bertindak sebagai pemudah cara.

Malaysia diwakili oleh Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, dan YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose, Presiden Majlis Profesor Negara. Sementara itu, Perancis diwakili oleh YBhg. Profesor Dr. Laurentt Metzger dan Indonesia diwakili oleh YBhg. Profesor Madya Dr. H. Abdul Malik dari Universiti Maritim Raja Ali Haji.

Pada awal perbincangan forum, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin selaku moderator sesi forum mengajukan persoalan tentang cara negara seperti Malaysia, Indonesia atau negara kecil yang lain mengantarabangsakan negara mereka. Pentas forum dibuka oleh panel pertama, YBhg. Profesor Dr. Laurent Metzger yang menyatakan bahawa jurang antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris memang berlaku di negara ini. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia perlu menerima bahasa lain yang berada dalam rumpun yang sama contohnya bahasa Indonesia.

“Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa bahasa Indonesia itu ialah bahasa Melayu. Beliau juga menegaskan bahawa syarat untuk bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi ASEAN turut memerlukan pelaburan khasnya apabila berlaku persidangan antarabangsa. “Sebagai contoh, apabila berlaku persidangan antarabangsa yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu, khidmat penterjemah perlu disediakan. Biarpun  melibatkan kos yang tinggi, namun jika hal tersebut dilakukan, maruah bahasa Melayu juga akan lebih tinggi nilainya,” ujar beliau yang  menerima tepukan gemuruh daripada peserta usai melontarkan pandangan tersebut.

YBrs. Prof. Madya Dr. Malik pula menyatakan bahawa bahasa Melayu menjadi faktor utama Indonesia meraih kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. “Tidak ada seorang pun rakyat Indonesia yang tidak boleh berbahasa Melayu,” jelas beliau. Menurutnya, rakyat Indonesia akan menggunakan bahasa tersebut mengikut dialek masing-masing. Beliau turut menjelaskan bahawa dalam apa-apa urusan pun, rakyat Indonesia tidak boleh menggunakan bahasa asing. “Sesungguhnya bahasa Indonesia itu ialah bahasa Melayu yang diangkat menjadi bahasa Indonesia,” tambah beliau.

“Keazaman politik perlu dijadikan asas utama jika mahu mengangkat bahasa Melayu ke tempat yang lebih tinggi bukan sahaja dalam arena tempatan, malah hingga ke persada antarabangsa,” demikian jelas YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Ibrahim Shah Abu Shah yang menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu mempamerkan kesungguhan untuk mendaulatkan bahasa Melayu di negara ini. Beliau juga menyentuh sikap segelintir masyarakat yang tidak memiliki sifat patriotik dengan sentiasa menolak aspirasi kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau juga turut menyentuh kedudukan bahasa Melayu yang dipandang rendah sebelum ini dengan perbuatan yang mencalarkan maruah bahasa Melayu itu sendiri.

“Kita menyokong aspirasi Perdana Menteri dan usaha yang ada perlu digembleng. Namun begitu, bahasa Melayu perlu dihormati pada peringkat negara terlebih dahulu sebelum diiktiraf pada peringkat antarabangsa,” ujar beliau. Beliau juga turut menyatakan bahawa golongan yang mengkhianati usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu wajar dianggap sebagai petualang. Tambah beliau, “Sebagai perbandingan, ada yang sudah 50 tahun menjadi rakyat Malaysia, tetapi tidak mampu berbicara dalam bahasa Melayu berbanding dengan golongan imigran yang pada hari pertama menjejakkan kaki di Malaysia sudah mampu menghafal enam perkataan yang menjadi perbualan asas di negara ini.”

Jelas YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose, “Perjuangan bahasa Melayu di negara ini kekal menjadi polemik yang masih terbelit.” Menurut beliau, aspirasi yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri mampu mengangkat bahasa Melayu ke tahap tertinggi. “Kita perlu perjelaskan dan tetapkan pendirian tanpa perlu bertelagah. Kedudukan bahasa Melayu di negara kini melambangkan jurang yang sangat besar antara aspirasi dengan realiti yang kita hadapi sekarang,” luah YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan. Bagi beliau, usaha yang lebih strategik perlu dilakukan supaya tumpuan terhadap bahasa Inggeris tidak menjadi agenda utama masyarakat di negara ini. “Satu kerangka perundangan perlu dilakukan dari segi perlembagaan, Akta Pendidikan dan Akta DBP sendiri. Pastikan ketetapan penggunaan bahasa Melayu itu tanpa adanya ruang untuk bertolak ansur lagi selepas ini,” tegas beliau.

Bagi YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong pula, beliau berpandangan bahawa telah banyak yang diperkatakan oleh masyarakat berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu.“Usaha ini perlu diiringi dengan perancangan yang lebih rapi untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Jika boleh, kita mahu jadi seperti Indonesia yang bangga, sayang dan setia terhadap bahasa kebangsaan mereka. Namun begitu, di Malaysia hal ini tidak berlaku,” luah beliau. Beliau juga tidak menafikan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang perlu dikuasai, namun bahasa Melayu itu perlu diperkukuh terlebih dahulu. “Orang Melayu perlu menunjukkan teladan yang baik. Jika penutur jati tidak mampu membela bahasanya sendiri, apakah yang hendak diharapkan daripada bangsa lain?” soal beliau. “Jika terdapat waima seorang pun dalam kalangan rakyat yang mempertikaikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu, maka usaha yang dibina itu tidak akan berjaya,” ujar beliau.

“Bahasa Melayu hanya tersebar luas apabila dipelajari oleh lebih daripada 100 buah universiti sebagai bahasa asing termasuklah dituturkan oleh 300 juta orang. Namun, masih belum mencapai tahap pengantarabangsaan. Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu perlu berada dalam ranah antarabangsa sebagai bahasa komunikasi,” ulas YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong apabila melihat kedudukan bahasa Melayu pada hari ini.

“Perlu diingatkan bahawa imej negara juga mampu meningkat dalam aspek bahasa apabila berkaitan dengan soal ekonomi dan perdagangan,” cadang beliau. Dalam hal ini beliau menyifatkan bahawa negara perlu mereka bentuk barangan atau produk dalam bahasa Melayu supaya dapat dijual dan dipasarkan kepada negara antarabangsa agar mereka yakin dan berasakan bahawa produk itu penting dalam ranah antarabangsa. Begitulah cadangan yang dikemukakan oleh barisan ahli panel yang terlibat sebelum sesi forum khas ini berakhir pada petang tadi. Pada masa yang sama, masyarakat diseru agar bangga, sayang dan setia terhadap bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.