25 Mei 2022, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengumumkan bahawa Indonesia akan menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula pada April lalu. Kesatuan Petani Kelapa Sawit Indonesia menyokong larangan kerajaan terhadap eksport kelapa sawit dan menyifatkannya sebagai langkah sementara yang perlu dilakukan.

Tindakan negara pengeluar kelapa sawit dan pengeksport terbesar dunia itu bertujuan memastikan bekalan dan harga mampu beli minyak masak di pasaran domestik. Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia apabila pada tahun lalu, pengeluaran dan eksport minyak sawit Indonesia mewakili masing-masing 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia. Larangan eksport itu menyebabkan harga minyak kacang soya melambung ke paras tertinggi di tengah-tengah kebimbangan mengenai bekalan global minyak sayur-sayuran alternatif yang berkurangan.

Langkah Indonesia seolah-olah akan memburukkan situasi kerana kekurangan bekalanĀ  minyak masak mungkin boleh membawa kepada krisis kebuluran makanan di negara yang bergantung pada import minyak masak. Ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dijangka akan menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi. Langkah ini juga tidak seimbang kerana akan memberikan kesan besar untuk pasaran antarabangsa dan meninggalkan kesan kepada pendapatan pekerja, petani kecil dalam industri ladang dan industri minyak sawit di Indonesia.

India, misalnya mengimport 50 peratus minyak sawit dari Indonesia. Dalam tempoh setahun, jumlah importnya dianggarkan sekitar lapan juta tan, iaitu mewakili sebanyak 40 peratus daripada jumlah minyak yang boleh digunakan untuk masakan. India ialah negara pengimport terbesar dunia dalam minyak masak sayuran. Apakah tindakan kerajaan India berikutan langkah Indonesia itu? Adakah New Delhi akan merujuk ke Malaysia untuk menambah eksport mintak sawit dari Malaysia?

Jika diteliti, dasar Indonesia itu telah dilaksanakan oleh beberapa buah negara termasuk Argentina yang mengenakan cukai eksport yang tinggi untuk masaknya, sementara Moldova, Hungary dan Serbia telah melarang eksport bijirin mereka. Negara Barat yang melaksanakan diskriminasi terpilih mereka terhadap minyak sawit atas alasan keradangan kepada kulit dan isu pekerja buruh paksa, serta isu perubahan iklim kini akur betapa pentingnya minyak sawit kepada dunia.

Konflik Ukraine-Rusia juga telah menyukarkan pasaran minyak masak dunia. Rantau Laut Hitam sahaja memperuntukkan 76 peratus eksport minyak bunga matahari. Penghantaran melalui jalan laut ke rantau tersebut terjejas disebabkan pihak insurans mengenakan premium yang tinggi kesan daripada situasi perang yang menyebabkan kapal pengantar kargo minyak masak tidak mampu menanggung kosnya.

Konflik kedua-dua negara ini memaksa kebanyakan negara pengimport minyak bunga matahari menukar kepada import minyak sawit. Ukraine dan Russia merupakan pengeksport terbesar minyak bunga matahari di dunia. Menurut the Observatory of Economic Complexity, laman sesawang visualisasi data untuk perdagangan antarabangsa, 46 peratus minyak bunga matahari diperoleh dari Ukraine dan 25 peratus dari Russia.

Peningkatan dasar perlindungan makanan akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara yang bergantung pada bahan makanan asas dan minyak masak seperti di Timur Tengah dan Afrika yang akan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan dapat mencetuskan kekacauan.

Isu minyak sawit ini mengingatkan saya tentang beberapa pihak yang ingin mengambil tindakan ke atas Malaysia berikutan isu pekerja yang dikatakan tidak mendapat layanan setimpal dan cadangan pihak berkuasa India untuk memboikot pembelian minyak sawit dari Malaysia. Hal ini ekoran kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meminta India bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan konflik dua buah wilayah berkenaan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-74 pada 24 hingga 28 September 2020.

Adakah dengan tindakan Indonesia itu akan mendatangkan laba bagi Malaysia untuk meningkatkan pengeluarannya untuk menjadi pengeksport utama minyak masak pula?Apakah langkah Malaysia bagi mengimbangi kekurangan minyak kelapa sawit dunia berikutan tindakan Indonesia itu?

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kesan jangka pendek tentunya menyebabkan negara pengimport mengalihkan pandangan ke arah Malaysia. Namun begitu, Malaysia berdepan dengan cabaran disebabkan isu kekurangan tenaga buruh yang menyebabkan Malaysia tidak mampu menampung permintaan tinggi ekoran langkah yang diambil Indonesia itu.

Jeck Seng berkata, pada ketika ini pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) yang mampu dikeluarkan Malaysia setahun adalah sekitar 17 juta tan disebabkan faktor kekurangan tenaga pekerja dalam sektor perladangan. Menurut beliau, peningkatan permintaan eksport itu mampu memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia berikutan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Jelas beliau, Malaysia masih bergantung pada permintaan dan penawaran minyak sawit dunia dan keperluan bagi pasaran tempatan pula hanyalah sebanyak satu juta tan setahun bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi.

Sehubungan dengan itu, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan produk-produk hiliran berasaskan sawit, kerajaan akan melindungi kelangsungan dan kebolehsaingan industri sawit tempatan pada peringkat global termasuklah industri hiliran.

Malaysia harus merancang strategi bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya ke pasaran dunia dan memikirkan pelan perancangan jangka masa pendek dan panjang berhubung dengan isu ini.

 

Penulis, Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UniSEL).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!