25 Mei 2022, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia 2022 (PTPM 2022) telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri di Hotel Seri Pasific.

Kuala Lumpur – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah merasmikan Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia 2022 (PTPM 2022) yang dianjurkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Hotel Seri Pasific hari ini.

Bertemakan “Tiada Sesiapa yang Tertinggal: Perpustakaan Sebagai Agen Perubahan”, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, PTPM 2022 berkata, usaha ini adalah sangat bertepatan dengan peranan perpustakaan sebagai pusat setempat bagi proses pengajaran, pembelajaran dan perkongsian ilmu sebagai tempat tumpuan kepada kanak-kanak, suri rumah tangga dan warga emas.

Perpustakaan berperanan sebagai satu hab komuniti dan tempat pengumpulan sejarah tempatan dan warisan melalui perkongsian kisah hidup dalam bentuk sejarah lisan serta ekonomi yang boleh menjana pendapatan penduduk setempat.

“Oleh itu, perpustakaan harus aktif memainkan peranan dalam pemeliharaan warisan budaya, seterusnya menyokong visi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu, Destinasi Lestari Kaya Budaya,” ujar YB Dato’ Sri Hajah dalam ucapan perasmian pada pagi tadi.

Sementara itu, beliau mencadangkan kepada pihak PNM supaya mewujudkan modul khusus untuk kursus bercerita agar penyampaian cerita bukan sahaja merangkumi sejarah berkenaan kisah tersebut, malah lebih daripada itu seperti memahami budaya masyarakat tertentu agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke negara kita.

Bersempena dengan PTPM 2022 ini, pertandingan poster yang terdiri daripada tiga kategori, iaitu Information Scientist, Young Explorer dan Junior Wizard untuk para akademia, industri perpustakaan, guru perpustakaan dan pengawas pusat sumber turut dianjurkan bagi mempamerkan inovasi dan rekaan yang dilakukan oleh pustakawan serta murid-murid sekolah.

MOTAC berharap agar perpustakaan dalam negara dapat bersama-sama menggembleng tenaga untuk meneruskan usaha murni dalam membina masyarakat berilmu dan berdaya saing dengan melaksanakan pelbagai program galakan membaca yang melibatkan semua pihak.

Turut hadir dalam memeriahkan Majlis Perasmian PTPM 2022 ialah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Siti Salasiah Abdul Wahab, Naib Presiden 1 Pustakawan Malaysia, Siti Sumaizan Ramli, Pengerusi PTPM 2022, Dr. Ghazali Mohd Fadzil, barisan Ahli Majlis PPM bagi penggal 2020 – 2022, pembentang dan peserta persidangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.