Oleh Azizi Ahmad
27 Mei 2022, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bayangkan jika anda sedang bekerja dan pada masa yang sama menyaksikan rakan sekerja berulang kali membuli rakan sekerja lain. Apakah yang anda akan lakukan?

Walaupun ramai antara kita berfikir bahawa kita akan campur tangan untuk menghentikan perbuatan tersebut, namun tinjauan menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja yang menyaksikan situasi buli, dikenali sebagai “pemerhati” kerana tidak bertindak balas untuk membantu mangsa.

Sebanyak 60 peratus pekerja di sesetengah tempat dilaporkan tidak melakukan apa-apa apabila menyaksikan kejadian buli. Akan tetapi, mengapakah perkara ini berlaku dan apakah akibatnya?

Kejadian buli di tempat kerja berlaku apabila pekerja tertakluk pada tingkah laku berulang yang mengganggu, mengecualikan atau menjejaskan kerja seseorang secara negatif. Perkara ini mungkin melibatkan tindakan keganasan fizikal yang jelas terhadap tingkah laku yang lebih samar-samar, seperti mengejek, menghina atau mengecualikan seseorang secara sosial.

Budaya buli boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mangsa secara serius dengan kes ekstrem yang menyebabkan kecederaan atau bunuh diri. Secara purata, kejadian buli di tempat kerja menjejaskan sekitar 15 peratus orang, walaupun sesetengah sektor seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi melaporkan kadar kes yang lebih tinggi.

Kesan Pengabaian Kejadian Buli

Kes buli di tempat kerja secara tradisinya dilihat sebagai isu yang hanya melibatkan mangsa dan pembuli. Maka, hal ini perlu ditangani dengan sebaik-baiknya. Namun begitu, kejadian buli sering berlaku di hadapan orang lain. Tinjauan menunjukkan 83 peratus pekerja dalam sesetengah organisasi membuat laporan menyaksikan buli di tempat kerja.

Menyaksikan kejadian buli boleh memudaratkan kesejahteraan pemerhati sendiri dan merangsang ketakutan tentang cara layanan yang akan diterima pada masa hadapan. Namun begitu, cara pemerhati sesuatu kes buli dalam bertindak balas terhadap kejadian itu mungkin boleh membantu atau memburukkan lagi keadaan mangsa.

Dalam kajian baru-baru ini, pengkaji telah meminta pekerja di sebuah universiti untuk menjawab soalan tentang pengalaman mereka dalam kes buli, sama ada sebagai mangsa atau penonton. Kajian menunjukkan mangsa buli mengalami kesan yang lebih rendah apabila mereka mempunyai pemerhati yang campur tangan dan membantu secara aktif. Sebaliknya, mangsa dalam kumpulan dengan pemerhati yang tidak melakukan apa-apa menerima impak yang tinggi. Kajian mencadangkan bahawa hal ini berlaku kerana mangsa dalam situasi ini bukan sahaja perlu menangani kejadian buli itu sendiri, malah juga perlu memahami punca yang  menyebabkan orang lain tidak bertindak balas sehingga menambahkan lebih banyak tekanan. Sehubungan dengan itu, pemerhati atau orang yang melihat kejadian buli merupakan pihak utama yang dapat membantu mencegah budaya membuli di temapt kerja.

Penyelidik telah mencadangkan bahawa maklum balas orang ramai terhadap kes buli di tempat kerja boleh dikategorikan melalui dua cara, iaitu aktif berbanding dengan pasif, dan membina berbanding dengan merosakkan. Cara pertama, mereka menerangkan betapa proaktifnya tindak balas dalam menangani situasi buli, manakala yang kedua menunjukkan sama ada tindak balas itu bertujuan untuk memperbaik atau memburukkan keadaan bagi sasaran.

Pemerhati juga boleh dikelaskan kepada empat golongan. Terdapat pemerhati aktif-konstruktif, yang secara proaktif dan secara langsung berusaha untuk memperbaiki keadaan buli, iaitu melaporkan perbuatan pembuli atau berhadapan dengan mereka.

Terdapat juga pemerhati pasif-konstruktif yang tidak langsung “menyelesaikan” kes buli, tetapi mendengar atau bersimpati dengan sasaran.

Sebaliknya, pemerhati pasif-destruktif pada kebiasaannya mengelak daripada kes buli dan “tidak berbuat apa-apa”. Sasaran mungkin melihat tindak balas pasif sebagai tindak balas dalam membenarkan tindakan pembuli.

Akhir sekali, pemusnah-pemerhati yang aktif akan memburukkan lagi keadaan dalam kes buli. Sebagai contoh, mereka secara terbuka berpihak kepada pembuli atau menyediakan situasi apabila pembuli boleh memilih mangsa. Golongan ini berpotensi menjadi pembuli sekunder.

Psikologi di sebalik “Pemerhatian”

Mengapakah ramai orang gagal campur tangan apabila menyaksikan sesuatu kejadian yang mereka maklum adalah salah atau berbahaya?

Teori yang paling terkenal untuk menjelaskan fenomena tersebut dikenali sebagai kesan pemerhati, yang telah diilhamkan dari pembunuhan Kitty Genovese.

Kitty ialah seorang wanita muda di New York yang mati ditikam pada tahun 1960-an di luar bangunan pangsapurinya, pada saat 38 penduduk lain memerhatikan kejadian tersebut dari tingkap mereka. Pada mulanya, dilaporkan bahawa tidak ada seorang pun campur tangan atau menghubungi polis dan menunjukkan tindak balas pasif-destruktif, walaupun cerita ini dan teori itu sendiri telah dicabar. Walau bagaimanapun, kesannya dilihat dalam situasi yang samar-samar, seperti buli yang tidak memerlukan bantuan kecemasan perubatan.

Pemerhati menerangkan tindakan mereka dengan mencadangkan bahawa seseorang  itu kurang berkeyakinan untuk membantu dengan kehadiran orang lain. Hal ini membuatkan mereka berasa kurang bertanggungjawab secara peribadi untuk bertindak, terutamanya dalam situasi yang tidak jelas.

Dalam satu kajian baru-baru ini, pengkaji cuba menyelidik dengan lebih mendalam proses psikologi yang mendasari tingkah laku pemerhati. Kejadian buli selalunya subjektif, dengan mengambil kira pandangan individu dalam membuat tafsiran terhadap suatu situasi yang sama secara berbeza. Oleh itu, pengkaji berminat untuk memahami tafsiran yang membawa kepada tindak balas konstruktif aktif, iaitu melalui pendekatan yang paling membantu.

Dalam mendapatkan tindak balas aktif-konstruktif, pemerhati mesti menganggap bahawa insiden itu cukup teruk untuk menjamin campur tangan. Hal ini boleh menjadi samar-samar, sama ada adakah kenyataan itu hanya gurauan atau sesuatu yang lebih daripada itu? Seterusnya, pemerhati mesti berpendapat bahawa mangsa tidak layak menerima tindakan yang dilakukan terhadap mereka. Akhir sekali, pemerhati mesti melihat bahawa mereka boleh campur tangan dengan berkesan.

Langkah dan Tindakan

Hubungan dalam persekitaran tempat kerja adalah kompleks. Dalam kes tertentu,  apabila prestasi kumpulan menjadi keutamaan, individu dalam kumpulan itu mungkin tidak boleh menerima sebarang kesilapan atau sebarang perkara yang menyusahkan mereka dan seterusnya, mungkin menganggap layanan buruk adalah wajar sebagai hukuman. Terdapat banyak kes yang berlaku apabila pemerhati ingin bertindak tetapi tidak mampu. Sebagai contoh, jika pembuli ialah penyelia mereka, atau jika percubaan campur tangan sebelum itu telah gagal.

Walaupun tiada penyelesaian yang sesuai untuk menggalakkan campur tangan pemerhati, terdapat perkara yang boleh membantu pemerhati dalam memahami situasi sasaran dengan lebih baik dan diharapkan dapat menjadi pemerhati konstruktif yang aktif.

Penyelidik mencadangkan bahawa mengambil suatu perspektif atau cuba melihat sesuatu melalui sudut pandangan lain boleh mendatangkan manfaat. Eksperimen telah menunjukkan bahawa peserta yang diminta untuk mengambil perspektif dari sudut pelaku kurang berkemungkinan bersetuju bahawa salah laku telah berlaku berbanding dengan peserta yang diminta mengambil perspektif dari sudut mangsa.

Organisasi juga mempunyai peranan penting dalam menghentikan budaya buli dan secara idealnya harus mempunyai dasar anti-buli yang mudah diakses oleh pekerja. Dasar ini perlu mentakrifkan dengan jelas definisi buli dan mempunyai proses yang telus dan sulit dalam melaporkan insiden yang dialami atau disaksikan secara langsung.

Dasar dan inisiatif anti-buli harus mendapat sokongan daripada pengurusan tertinggi. Perkara ini akan dapat membantu pekerja berasa selamat dalam bersuara. Organisasi harus cuba mencari punca kes buli berlaku dan mengambil inisiatif atau cara untuk mengurangkannya. Sebagai contoh, beban kerja yang tinggi dan komunikasi yang lemah mungkin menyumbang kepada berlakunya budaya buli.

Sesebuah organisasi yang ahlinya boleh membuat refleksi tentang sesuatu masalah yang dihadapi, boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dalam usaha menangani perkara ini. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli, malah mampu meningkatkan kesejahteraan suasana di tempat kerja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.