Oleh Mubarak Ismail
28 Mei 2022, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) pada hari ini.

Dalam majlis tersebut, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, penambahan sekolah baharu di Putrajaya dibuat selepas melihat peningkatan jumlah penduduk yang konsisten di kawasan berkenaan.

Menurut beliau lagi, terdapat kira-kira 400 pelajar yang menetap di sekitar kawasan tersebut yang sedang menumpang belajar di sekolah lain. Sehubungan dengan itu, pembinaan sekolah baharu ini akan mengurangkan tekanan dan kepadatan pelajar yang dihadapi oleh sekolah-sekolah yang telah sedia ada, khususnya sekolah rendah di kawasan Putrajaya.

Datuk Dr. Radzi Jidin merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3).

“Selain itu, terdapat sebanyak 36 buah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) ini dan turut dilengkapi dengan padang dan beberapa gelanggang sukan. Sekolah ini dijangka siap dibina pada tahun 2023 dan bakal beroperasi pada tahun 2024,” ujar Datuk Dr. Radzi Jidin.

Jelas Datuk Dr. Radzi Jidin lagi, kawasan yang dipilih itu bersesuaian dan strategik kerana berdekatan dengan kawasan perumahan di samping laluan masuk ke kawasan sekolah yang mudah untuk para guru dan kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa.

Dalam majlis yang sama, Datuk Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melanjutkan kontrak 2683 guru kontrak perkhidmatan (contract of service atau CoS) bagi pengambilan tahun 2020 yang akan tamat pada 9 Jun ini.

“Sehubungan dengan itu, guru-guru CoS ini tidak lagi perlu risau dan segala proses yang dilakukan oleh SPP ini akan dilaksanakan dengan sebaik-baik mungkin. Keputusan guru CoS bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 secara sekali beri (one-off) bagi tahun 2021 juga sudah diumumkan dan calon-calon boleh membuat semakan temu duga melalui portal SPP,” kata Datuk Dr. Radzi Jidin.

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan guru CoS bagi pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 secara sekali beri bagi tahun 2021 sudah diumumkan dan calon boleh membuat semakan temu duga melalui portal SPP.

Menurut Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi Facebook beliau, usaha yang dilaksanakan terhadap guru-guru tersebut adalah selaras dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan berikhtiar sehabis baik dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung dengan kedudukan kumpulan guru CoS ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.