2 Jun 2022, 17:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tonton video penuh di sini.

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara rasminya dimansuhkan mulai tahun ini setelah ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Berhubung dengan kegusaran berkaitan dengan penilaian tahap penguasaan murid, Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa pendekatan ini dilakukan bertujuan untuk melihat tahap intervensi murid di dalam bilik darjah dengan lebih menyeluruh melalui penambahbaikan Pentaksiran Formatif (berterusan) dan Pentaksiran Sumatif.

“Murid akan ditaksir oleh guru pada setiap masa menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk memastikan murid mendapat penguasaan sepenuhnya dalam sesuatu topik atau mata pelajaran yang dipelajari,” jelas YB Menteri Kanan Pendidikan dalam Sidang Media Khas di Auditorium Kompleks E, KPM pada petang ini.

Menurut beliau, KPM telah memfokuskan usaha memperkasaan PBS melalui tiga komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.

Dari segi penambahbaikan PBD Pentaksiran Formatif, KPM akan memperkasa program latihan untuk pentadbir atau guru bagi memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

“Bagi PBD Pentaksiran Sumatif, KPM akan memantapkan ujian akhir sesi akademik bagi lima mata pelajaran terpilih di peringkat sekolah rendah dan semua mata pelajaran di peringkat menengah rendah melalui pentaksiran mengikut tahun atau tingkatan; penyediaan bank soalan oleh KPM; penjanaan set soalan oleh guru di sekolah; dan pelaksanaan yang lebih fleksibel.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai pemerkasaan sistem pendidikan negara, ujian akhir sesi akademik akan dilakukan kepada murid darjah 4 hingga darjah 6 berdasarkan lima mata pelajaran (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah), manakala murid di sekolah menengah melibatkan semua mata pelajaran.

“Soalan peperiksaan akan disediakan melalui satu bank soalan oleh KPM mengikut tahap tertentu dan dijana oleh guru di sekolah, manakala set soalan ujian akhir tahun disediakan oleh guru sekolah bagi pelaksanaan yang lebih fleksibel,” jelas beliau dalam usaha menyelaraskan standard soalan peperiksaan di seluruh negeri.

Bagi pihak KPM, maklumat ini dapat membantu kementerian secara lebih menyeluruh untuk melihat di seluruh negeri tentang pencapaian murid dalam konteks subjek yang disebut tadi. Hal ini juga membantu untuk melihat khususnya dalam perkara literasi bagi membolehkan intervensi dibuat pada peringkat negeri, daerah dan sekolah.

Meskipun peperiksaan tidak dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri, pihak sekolah boleh menetapkan tarikh peperiksaan mengikut kesesuaian semasa berdasarkan tempoh yang diberikan oleh KPM.

“Saya yakin dengan pendekatan penambahbaikan pentaksiran baharu ini, kita mampu membina dan melahirkan pewaris negara yang hebat, selain daripada mengetahui punca kemerosotan prestasi murid di dalam bilik darjah,” akhiri YB Datuk Dr. Radzi dalam menerangkan Pelaporan Pertengahan Sesi Akademik yang menggunakan format baharu bermula Sesi Akademik 2023/2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.