Oleh zaadee
3 Jun 2022, 20:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 ke-39, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan acara Dialog Buku Negara pada petang tadi bertempat di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Majlis Dialog Buku Negara dirasmikan oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dengan tajuk dialog, “Industri Buku Negara Mendepani Cabaran Global”.

Turut hadir dalam Majlis Dialog ialah YBhg. Encik Mohd Khir Ngadiron, Pengerusi Pengelola PBAKL, YBhg. Dato’ Haji Zainudin Haji Othman, Pengerusi Dialog Buku Negara, dan YBhg. Dato’ Dr. Ivan Hoe Wat Sing, Presiden Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA).

Dalam Dialog Buku Negara ini, ahli panelnya terdiri daripada YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), YBrs. Tuan Haji Azman Hashim, Pengerusi Pemasaran, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), YBrs. Encik Arief Hakim Sani Rahmat, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), manakala YBrs. Encik Sakri Abdullah, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sebagai moderator.

YBhg. Dato’ Haji Zainudin Haji Othman, Pengerusi Dialog Buku Negara.

Menurut YBhg. Dato’ Haji Zainudin, dalam usaha memupuk budaya dan memperkasakan industri pembukuan, banyak usaha telah dijalankan antaranya termasuklah penerbitan, pemasaran kajian dan libat urus dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta. Hal ini termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan penggiat industri pembukuan yang sentiasa bergerak dalam usaha memastikan buku menjadi satu daripada agenda negara yang terpenting.

Maklumat, pandangan dan pendapat akan menghasilkan satu keputusan dan resolusi yang disepakati bagi menggerakkan perancangan pembukuan yang disasarkan. Resolusi akan dikemas kini dan akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri,” kata YBhg. Dato’ Haji Zainudin dalam ucapan alu-aluan tadi.

Sementara itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata, usaha mengadakan Majlis Dialog ini sangat tepat pada masanya untuk membuka ruang kepada penggiat industri buku negara untuk berbincang, memberikan pandangan atau cadangan dalam usaha memulihkan industri penerbitan negara yang terkesan dengan cabaran global terutamanya pandemik COVID-19.

“Pandemik yang melanda dunia memberikan cabaran terbesar kepada masyarakat sehingga menjejaskan kegiatan ekonomi, termasuklah industri penerbitan. Pandemik COVID-19 bukan sahaja menyuramkan kegiatan penerbitan, malahan mematikan sebilangan perusahaan penerbitan di negara terutama yang dilaksanakan secara fizikal.”

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

DBP turut terkesan dengan pandemik COVID-19 ini, namun bingkas bangkit dengan melakukan beberapa inovasi dan tindakan segera. Dalam tempoh tersebut, DBP berjaya membangunkan pelantar digital, iaitu JendelaDBP untuk mengumpulkan produk penerbitannya di bawah satu bumbung.

Tambah YBhg. Datuk Abang Sallehuddin, statistik menunjukkan dari Januari 2022 hingga Mei 2022, hampir 600 000 pelayar telah mengakses pelantar digital ini. DBP banyak mengubah strategi penerbitan buku, yakni mencetak buku berdasarkan permintaan daripada pelanggan atau mana-mana agensi atau jabatan.

“DBP berharap agar usaha ini dapat mengurangkan simpanan buku di stor, malah pemasaran buku juga dapat bergerak dengan lebih pantas. Semua buku DBP bermula dari tahun 1958 akan didigitalkan bagi membolehkan pengguna, peminat dan pengkaji buku mengakses bahan tersebut. DBP juga sedang berusaha dalam mempelbagaikan kaedah penerbitan selain bahan digital.”

Saya percaya dengan penyertaan pelbagai pihak, terutamanya dalam kalangan penggiat industri pada hari ini, pasti banyak percambahahan idea dan pandangan yang boleh diusulkan kepada pemimpin negara untuk kepentingan pembangunan industri buku negara,” ujar YBhg. Datuk Abang Sallehuddin dengan harapan agar majlis dialog ini menghasilkan satu cadangan atau resolusi yang segar.

YBhg. Encik Mohd Khir Ngadiron, Pengerusi Pengelola PBAKL.

 

 

Pengerusi Pengelola PBAKL, YBhg. Encik Mohd Khir Ngadiron berkata, “Sumbang saran dan dialog sebegini adalah sangat penting. Industri perlu pemain-pemain yang ada ilmu dan pengetahuan yang betul. Kita tidak mahu memberikan perspektif yang berbeza-beza.”

“Penggiat industri perlu sentiasa positif, berdaya saing dan boleh maju. Saya percaya dengan semangat dan strategi yang baik akan menghasilkan sebuah kejayaan yang bernilai,” kata YBhg. Encik Mohd Khir Ngadiron  mengakhiri ucapan dan merakamkan ucapan tahniah atas pelibatan semua pihak dalam menjayakan industri buku negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.