Oleh Suyuthi Yusuf
3 Jun 2022, 22:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dialog Buku Negara yang bertajuk “Industri Buku Negara Mendepani Cabaran Global” telah diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC). Dialog tersebut membariskan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta aktif dalam industri buku negara. Ketiga-tiga ahli panel tersebut ialah YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan (Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak), Tuan Haji Azman Hashim (Pengerusi Pemasaran Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia atau MAPIM) dan Encik Arief Hakim Sani Rahmat (Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia atau MABOPA). Dialog tersebut telah dikendalikan oleh Encik Sakri Abdullah (Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia atau ITBM).

Dialog Buku Negara berlangsung selama hampir tiga jam. Banyak idea, cadangan dan perspektif baharu mengenai buku dan industri perbukuan dikemukakan sepanjang dialog tersebut. Antaranya adalah berkaitan dengan peranan perpustakaan, literasi digital, masa hadapan industri buku serta cabaran dan halangan dalam melangsungkan hayat perbukuan.

Umum mengetahui bahawa pandemik COVID-19 banyak memberikan kesan terhadap perkembangan ekonomi dan kehidupan masyarakat sendiri. Industri buku tidak terlepas dalam menerima “tempias” tersebut. Pandemik banyak memberikan pengajaran tertentu bahawa persediaan daripada pelbagai aspek perlu diteliti serta perlunya “pelan kedua” dalam memastikan buku sentiasa menjadi pilihan masyarakat.

Menurut YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan, beliau yang berpengalaman terlibat dengan perpustakaan menyatakan bahawa pandemik secara tidak langsung menyebabkan perpustakaan kembali menjadi pilihan masyarakat dalam mencari buku yang diingini oleh pembaca.

Ilmu tidak harus disimpan semata-mata dalam perpustakaan. Ilmu harus digunakan dan disebarkan kepada masyarakat umum. Oleh itu, perpustakaan sekarang harus memperbanyak perkhidmatan yang bersifat digital.

YBhg. Datu Dr. Rashidah Bolhassan sedang mengutarakan ideanya tentang literasi digital.

Menurut beliau lagi, walaupun pandemik COVID-19 melanda negara dengan hebatnya, namun perpustakaan tetap berdiri utuh kerana terdapat perpustakaan yang memberikan perkhidmatan digital seperti pinjaman e-buku, pembacaan surat khabar secara digital dan sebagainya. Dengan adanya literasi digital dalam perkhidmatan perpustakaan, maka secara tidak langsung masyarakat tidak lagi menghadapi situasi sukar dalam mendapatkan buku. Tambahnya, perpustakaan sendiri harus sentiasa melakukan perubahan dalam menyediakan perkhidmatan mereka.

Selain itu, Tuan Haji Azman Hashim selaku ahli panel kedua berpendapat bahawa walaupun buku fizikal seolah-olah tidak lagi menjadi pilihan pembaca, namun cabaran yang lebih besar ialah cara untuk mempromosikan sesebuah buku yang diterbitkan.

Saya percaya buku masih dicari oleh masyarakat. Perkara yang penting sekarang ialah penerbit dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri buku harus lebih terkehadapan dan bijak dalam mempromosikan buku mereka. Masyarakat di luar bandar, terutamanya di kampung dan pedalaman tidak harus disisihkan dalam mendapatkan buku yang berkualiti.

Tuan Haji Azman Hashim sedang mengetengahkan pandangannya tentang dunia buku.

Beliau juga berpendapat bahawa sesebuah tamadun dibina dengan budaya pembacaan yang kukuh. Pembudayaan pembacaan harus diterapkan dan dikukuhkan terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh ke dunia digital. Bagi beliau, semua pihak harus terlibat dalam membudayakan buku dalam kehidupan seharian. Agensi kerajaan khususnya perlu lebih giat dalam menerapkan minat masyarakat terhadap buku, terutamanya yang melibatkan golongan kanak-kanak. Program galakan membaca perlu digerakkan di semua peringkat termasuklah peringkat sekolah. Jika keadaan tersebut menjadi realiti, maka industri buku akan hidup subur dah harmoni.

Seterusnya, ahli panel ketiga, iaitu Encik Arief Hakim Sani Rahmat pula menjelaskan betapa perlunya pihak tertentu melihat kembali hal-hal penting dalam proses menerbitkan buku. Antara perkara yang dibangkitkannya ialah cabaran dalam menerbitkan buku pasca pandemik yang melibatkan kos cetak, harga kertas dan sebagainya. Baginya, hal seumpama ini menjadikan industri buku tersepit dan mengalami masalah untuk terus berjalan dengan lancar. Hal-hal tersebut menyebabkan harga buku menjadi mahal dan seterusnya masyarakat akan menjadikan buku sebagai “kos lepas” dalam kehidupan seharian mereka.

Naratif dahulu ialah orang tidak mahu membeli buku walaupun harga buku murah. Sekarang, naratifnya ialah orang mahu membeli buku, tetapi duit yang berada dalam poket tidak mencukupi. Itulah realiti buku dan pembaca sekarang.

Encik Arief Hakim Sani Rahmat sedang memberikan perspektifnya tentang industri buku.

Selain itu, beliau juga mengemukakan beberapa idea untuk semua pihak, khususnya kerajaan untuk sama-sama membantu dalam meningkatkan industri buku dan seterusnya menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat. Antara idea yang dikemukakannya ialah perlunya kerajaan menggiatkan kembali “Kempen Membaca Kebangsaan”, perlunya insentif fizikal dan pelaburan pendidikan, pemberian kembali baucar buku dan transformasi digital yang menyeluruh.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan dan pihak tertentu memberikan dana bagi membolehkan kajian industri buku dilakukan. Kajian tersebut harus menyeluruh dan bersifat holistik serta mampu memberikan jawapan kepada permasalahan yang terdapat dalam industri buku kini.

Selaku moderator dialog, Encik Sakri Abdullah menyatakan kegembiraannya kerana pada hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan, seawal pukul 10.30 pagi, banyak pengunjung hadir memenuhi ruang legar pempamer secara keseluruhan dan baliau berharap agar pengunjung akan terus berkunjung ke pesta buku tersebut sehingga 12 Jun 2022. Dalam memastikan kelangsungan industri buku, beliau juga berharap agar adanya pendekatan terbaik daripada industri dan kerajaan yang boleh memberikan ruang untuk industri buku mengalami proses pemulihan secara berterusan kerana terkesan dengan cabaran global. Menurut beliau, industri buku merupakan industri yang menggabungkan elemen komersial dan sosial. Oleh itu, tanggungjawab pemain industri juga mesti ada dan menyerahkannya pada pasaran terbuka juga perlu ada.

Encik Sakri Abdullah, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, selaku moderator dialog.

Pada akhir sesi dialog, Encik Sakri Abdullah turut menyatakan kegembiraannya kerana peserta yang hadir menunjukkan minat terhadap dialog yang diadakan dan dapat bertahan dalam majlis yang diadakan dalam tempoh hampir tiga jam.  Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat sedar betapa perlunya budaya membaca, betapa sedar dan betapa kita perlu memperbaik apa-apa yang kita ada sekarang.

Daripada dialog yang diadakan pada petang tadi, jelas menunjukkan bahawa industri penerbitan merupakan industri penting yang perlu dititikberatkan oleh pelbagai pihak dan masyarakat. Industri penerbitan berperanan sebagai pembangun keintelektualan masyarakat dan menjadi akar tunjang pohon ketamadunan bangsa. Oleh itu, amalan membaca perlu sentiasa dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.