6 Jun 2022, 21:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tonton video penuh di sini.

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Hari Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustafa Billah, Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Program Bicara Khas yang menampilkan YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengasas Jurisprudens Watan merangkap Profesor Madya, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang sebagai pembicara, manakala YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebagai pemudahcara.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi yang juga merupakan Panel Khidmat Nasihat DBP memulakan perkongsiannya dengan menjelaskan ungkapan yang cukup dekat dengan Keluarga Malaysia, iaitu “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”.

Ungkapan ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ mempunyai sejarah tersendiri dan menterjemahkan bahawa raja itu merupakan ketua tertinggi dalam sistem kemasyarakatan di Alam Melayu. Keadaan ini merupakan kesinambungan ataupun penerusan sistem masyarakat yang telah pun berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

YBhg. Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

“Keluarga Malaysia mestilah memahami istilah kemerdekaan yang selalu diucapkan bukanlah Tanah Melayu bebas daripada penjajahan. Peristiwa yang lebih besar berlaku pada 31 Ogos 1957 ialah kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada sembilan buah kerajaan Melayu yang diperintah oleh Raja-raja Melayu berdaulat dengan dua buah negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang yang diserahkan oleh pentadbiran British kepada Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” kata Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi dalam Program Bicara Khas yang berlangsung secara maya menerusi JendelaDBP pada petang ini.

Kemerdekaan di sini menurutnya mestilah difahami oleh seluruh Keluarga Malaysia bahawa merdeka daripada campur tangan British di negeri Melayu dan merdeka daripada penjajahan British di negeri Selat. Tegas beliau, gagasan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” mempunyai sejarah tersendiri, iaitu raja diangkat sebagai pemerintah tertinggi di negara ini bukan belaku secara paksaan, tetapi dengan secara rela hati.

Penentangan terhadap Malayan Union yang berlaku dalam sejarah negara merekodkan raja dan rakyat bangun mempertahankan institusi diraja kerana institusi ini adalah tunjang kepada kedaulatan negara dan hal ini membuktikan betapa akrabnya hubungan raja dengan rakyat. Ikatan yang diwarisi sedemikian perlu diperteguhkan hingga masa depan. Hubungan ini katanya perlu disuburkan sepanjang masa kerana hal ini merupakan ikatan jati diri Keluarga Malaysia yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi juga menjelaskan maksud di sebalik bangsa Malaysia, yakni merujuk rakyat Raja dan dalam konteks Alam Melayu adalah rakyat kepada raja Melayu tanpa kira apa-apapun agama, keturunan dan etnik. Sebelum tahun 1948, disebut rakyat negeri Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebagainya yang merujuk rakyat Sultan yang memerintah bahawa kesemua rakyat ini adalah rakyat raja. Paling menarik apabila alam dan laut Melayu pada satu masa dahulu berada di bawah kekuasaan Raja Melayu, maka secara tidak langsung kumpulan etnik pelbagai di dalam wilayahnya menjadi rakyat raja Melayu.

Satu hal yang harus difahami bahawa Raja adalah Ketua Agama Islam bagi setiap negeri Melayu, maka betapa akrabnya hubungan tersebut hinggakan rakyat raja Melayu yang beragama Islam hingga kini dikenali sebagai orang Melayu, manakala rakyat baginda yang bukan beragama Islam sebaliknya dikenali sebagai orang asli. Tambah beliau, rakyat raja Melayu terus berkembang apabila penghijrahan pelbagai etnik dari wilayah lain ke Tanah Melayu ketika itu, diterima sebagai rakyat raja Melayu melalui kuatkuasa undang-undang.

Dalam masa yang sama, beliau amat berharap agar warganegara Malaysia dapat membetulkan fahaman tentang suatu perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan hari ini bukanlah semata-mata mencedok sistem Westminster (Sistem Perlembagaaan yang bersumberkan British), namun Perlembagaan Persekutuan terhasil daripada proses perkembangan perlembagaan berasaskan adat Melayu yang mengekalkan prinsip kedaulatan watannya.

Ujarnya lagi, Rukun Negara seharusnya lebih kerap dilafazkan sama ada pada peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi serta di jabatan kerajaan. Rukun Negara bukanlah prinsip baharu, sebaliknya merupakan intipati kepada Wasiat Raja-Raja Melayu juga perkara yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Rukun Negara dapat menyatupadukan rakyat raja yang mudah difahami tanpa perlu membaca keseluruhan kandungan Perlembagaan, di samping membantu kerajaan menyuntik semangat kebangsaan yang utuh kepada warganegara.

Beliau turut menjelaskan mengenai hubungan antara bahasa Melayu dengan Raja Melayu. Bahasa bukan semata-mata sebagai alat komunikasi tegasnya lagi, bahkan pengikat kejiwaan bangsa. Dengan bahasa dan kesusasteraan yang mempunyai nilai ilmu yang tinggi telah membawa jauh ilmu Melayu ke merata dunia. Bahasa ini jugalah bahasa yang digunakan oleh raja ketika memerintah sejak zaman silam dan kini masih terpelihara dalam perlembagaan. Semua pihak sewajarnya menyokong dan mendukung penuh aspirasi YAB Perdana Menteri bagi merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan antara bahasa utama dunia.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar berusaha meningkatkan kefahaman tentang Raja dan demokrasi berperlembagaan bertunjangkan kedaulatan undang-undang.

“Semua pihak khususnya rakyat, ahli parlimen, badan kehakiman, badan eksekutif perlu mengekalkan kesetiaan kepada Raja seperti yang diikrarkan melalui Rukun Negara yang kedua. Bahasa kebangsaan dapat membina bangsa Malaysia berlandaskan jati diri watan untuk direalisasikan bukan sahaja secara lisan, tetapi tertanam dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia,” ujar beliau mengakhiri perkongsian berkenaan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!