Oleh Normasiska Noor
7 Jun 2022, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 16 Mei 2018, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan bermula pada 1 Jun 2018. Pelbagai reaksi muncul di sana-sini, rata-ratanya menyambut baik pengumuman tersebut, tidak kurang juga ada yang menganggap bahawa keputusan tersebut sebagai kurang tepat.

Kini, empat tahun berlalu (tanpa GST) dan sejak belakangan ini sering kedengaran cadangan daripada pelbagai pihak agar GST diperkenalkan semula. Bermula dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang pada awal tahun 2022 telah memberikan bayangan bahawa GST berkemungkinan akan diperkenalkan semula bagi membendung ketirisan cukai di negara ini.

Tidak lama kemudian, iaitu pada Mei lalu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, menerusi wawancara bersama-sama Nikkei Asia, di Tokyo menjelaskan bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan akan mengembalikan GST sebagai satu daripada cara yang efektif untuk menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. Tambah beliau lagi, GST juga dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dan mampu untuk membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

Kita telah kehilangan RM20 bilion pendapatan tahunan apabila kita memansuhkan GST dan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Tiada negara di dunia ini yang kembali daripada GST kepada SST, melainkan Malaysia

Beliau juga menjelaskan bahawa kepimpinannya sedar tentang persepsi negatif mengenai GST tetapi kerajaan sudah tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika ini.

Tambah beliau lagi, dalam usaha mengembalikan GST, kerajaan akan mencari jalan yang terbaik untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran tentang sudut positif GST serta sistem pengutipan cukai yang lebih telus. Kerajaan juga akan memastikan kadar GST yang akan diperkenalkan semula kelak tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat. Selain itu, kerajaan juga sedang mengusahakan program rasionalisasi subsidi  bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah dan menengah.

Pandangan pelbagai pihak mengenai GST ternyata menarik perhatian Bank Negara (BNM) yang baru-baru ini turut menyokong idea mengembalikan semula GST kerana hanya dengan berbuat demikian BNM yakin akan dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh kerajaan.

Himpitan ekonomi yang melanda negara dicetuskan oleh pelbagai faktor, antaranya termasuklah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah menaikkan harga bahan api dan barangan keperluan makanan import sekali gus berkemungkinan menjejaskan kewangan kerajaan serta meningkatkan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan. Hal ini ditambah lagi dengan jumlah subsidi bahan api kerajaan yang dijangka mencecah paras RM28 bilion (AS$6.4 bilion) pada tahun ini (peningkatan mendadak daripada hanya RM11 bilion pada tahun 2021 berikutan lonjakan harga bahan api global).

Meskipun memperkenalkan semula GST belum dimuktamadkan, namun sudah kedengaran pelbagai kebimbangan yang disuarakan oleh banyak pihak. Yang paling ditakutkan adalah berlaku kenaikan harga barangan yang pastinya akan membebankan pengguna dan rakyat keseluruhannya.

Menurut Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng, ketika diwawancara oleh Berita Harian, keadaan yang ideal untuk melaksanakan semula GST adalah ketika inflasi rendah dan stabil; pekerjaan dan pertumbuhan gaji yang mampan; dan ketika pendapatan rakyat meningkat untuk menampung beban sara hidup. Pada masa yang sama katanya, kadar yang lebih rendah berbanding dengan enam peratus di bawah SST pada masa ini masih boleh dipertimbangkan. Selain itu, bantuan tunai sekali beri untuk isi rumah miskin adalah wajar untuk mengimbangi GST terutamanya untuk isi rumah berpendapatan rendah.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan GST. Tambahnya lagi, meskipun GST merupakan cara yang paling mudah bagi kerajaan menambahkan hasil pendapatan, namun GST akan menyebabkan rakyat tertekan kerana terpaksa membayar cukai tambahan ke atas barangan dan perkhidmatan, iaitu dengan harga barang telah sedia tinggi. Hal tersebut turut ditambah lagi dengan isu ketirisan dan rasuah yang menyebabkan kerajaan kehilangan sebanyak RM50 bilion hingga RM60 bilion pada setiap tahun. Tidak terkecuali katanya, kutipan GST yang lambat dipulangkan kepada peniaga juga perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum GST diperkenalkan semula.

Menerusi kaji selidik yang dibuat oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) pada Mei 2020 mendapati bahawa sebanyak 499 buah syarikat menyokong supaya GST diperkenalkan semula bagi menggantikan SST. Walau bagaimanapun terdapat cadangan penambahbaikan yang dikemukakan bagi mengurangkan kadar GST, iaitu antara tiga peratus hingga empat peratus bagi merangsang persekitaran perniagaan yang seterusnya dapat menghasilkan pelaburan dan peluang pekerjaan yang lebih tinggi serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Turut dikemukakan adalah cadangan untuk menjadikan barangan dan perkhidmatan perlu berkadar sifar; mengekalkan ambang pendaftaran GST pada RM500 ribu; serta meminimumkan penangguhan pembayaran balik terutamanya kepada pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar memandangkan tempoh pembayaran antara enam bulan hingga lapan bulan menjadikan GST sebagai beban cukai terkumpul.

Tidak dinafikan bahawa GST merupakan kaedah yang terbaik dalam mengembangkan pendapatan asas negara yang terjejas teruk khususnya untuk membantu kerajaan dalam menangani inflasi dan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat. Oleh itu, sekiranya GST satu-satunya jalan keluar daripada kemelut ini, maka kerajaan perlu meyakinkan rakyat bahawa langkah ini bukan sahaja dapat menjamin pengutipan cukai yang lebih telus tetapi pada akhirnya nanti cukai tersebut akan dipulangkan semula kepada rakyat dan negara dalam pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan.

Janji Perdana Menteri bahawa satu pelan komprehensif akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk mencari kaedah dan pelaksanaan yang terbaik sekiranya GST diperkenalkan semula kelak juga pastinya akan diyakini dapat  membawa keputusan yang terbaik untuk Keluarga Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.