9 Jun 2022, 18:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti merupakan sebuah drama bersiri yang sarat dengan kritikan terhadap sikap, nilai dan pemikiran masyarakat. Sesetengah daripada pemerhati memberikan penilaian bahawa drama ini telah mengangkat sosiobudaya atau budaya perlakuan terutamanya dalam kalangan masyarakat Kelantan, sedangkan kisah yang dibawa adalah berbeza, merentas sosial budaya (bukan semata-mata di Kelantan), serta wujud beberapa perkara yang memerlukan tafsiran yang berbeza.

Setiap tafsiran dan penilaian daripada khalayak ada perbezaannya, dan kelainan itu yang diperlukan bagi menambah nilai sebuah karya yang dianggap bermutu. Namun begitu, bagi sesetengah pihak ada yang mengabsahkan ciri samseng itu diangkat dan ditonjolkan melalui drama tersebut. Sedangkan, karya ini bertujuan untuk menonjolkan sifat kepimpinan yang wajar dimiliki oleh golongan yang mempunyai pengaruh. Setiap tindakan daripada orang yang disanjung itu menjadi pendidikan secara langsung kepada para pengikutnya. Drama ini juga menyajikan naratif watak hitam putih yang disebut juga sebagai “orang jahat tapi baik hati” atau peralihan dari sisi gelap kepada sisi yang mulia.

Sesi Forum “Kisah di Sebalik Karya Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti” pada 8 Jun 2022 bertempat di Balai Budaya, DBP telah menampilkan barisan panel, iaitu Sabri Yunus, Eman Manan, Farid Amirul, Angeline Tan, dan moderatornya A. Wahab Hamzah. Melalui forum ini,  Sabri Yunus membahaskan tentang maksud samseng, gedebe dan bekeng, yang ketiga-tiga istilah dialek itu adalah berbeza pengertiannya dalam konteks budaya dan interpretasinya. Melalui drama ini, watak samseng bukanlah fokus penting, tetapi cara dan langkah seseorang itu mampu membentuk para pengikut dan orang sekelilingnya. Hal ini juga menjelaskan seseorang pemimpin itu tidak perlu ditakuti, tetapi gagasan yang dibawa itu membuatkan dirinya dihormati. Samseng membawa pengertian seseorang yang mempunyai sifat jahat atau individu yang suka membuat kejahatan misalnya membuli, merompak dan memukul. Gedebe yang difahami pada masa kini juga telah diberi tafsiran salah terutamanya dalam kalangan orang muda. Barangkali, mereka tidak didedahkan dengan pengertian sebenar menurut kaca mata budaya masyarakat di Pantai Timur.

Jelas beliau, gedebe itu merupakan satu sifat yang dimiliki oleh seseorang yang tahu batas kemanusiaan dan tidak memberikan gambaran pada sifat jahat seseorang tetapi individu yang tahu membezakan tentang sesuatu tindakan sama ada wajar atau tidak wajar. Individu yang memiliki sifat ini juga dikatakan seorang yang mempunyai pengaruh dalam kelompok masyarakat dan sering menjadi rujukan orang ramai untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau kadangkala menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan nasihat dan panduan.

Di sesetengah tempat terutamanya di Kelantan, sifat gedebe pada kebiasaannya dimiliki oleh penghulu dan ketua kampung kerana mereka sering menjadi tumpuan masyarakat yang memerlukan pertolongan untuk menyelesaikan masalah serta berani, tegas dan adil dalam membuat keputusan. Misalnya, isu pergaduhan yang berlaku dalam komuniti dan kelompok dapat diselesaikan dengan cara yang aman dan harmoni. Melalui drama bersiri Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti, sifat ini dimiliki oleh watak Pok Ya kerana semua perkara bukan sahaja dapat diselesaikan dengan cara perbincangan, malah beliau dihormati dalam kalangan orang muda dan berusia.

Pengertian bekeng pula ialah seorang yang lekas marah, perengus dan berani berdepan dengan situasi bahaya dan mencabar. Seseorang yang mempunyai sifat bekeng juga dikatakan sukar untuk dibawa berbincang, dan inilah yang membezakan dengan individu yang mempunyai sifat gedebe.

Pembahagian sifat samseng, bekeng, gedebe dapat dibahagikan mengikut watak dalam drama tersebut. Samseng ialah watak JJ (Farid Kamil) dan Robert (Farid Amirul) dan Jering (Asrul faizal Kamaruzaman); bekeng ialah Muda Primula (Eman Manan), Saidi Sabri (Halim), Rosit (Issey Fazlisham), Wadi (Yie Arjunasukma); manakala gedebe merujuk kepada watak Pok Ya (Sabri Yunus) dan Mamat Kertuk (Wan Hanafi Su).

Melalui forum tersebut, turut dikongsikan kepentingan karya sastera sebagai rujukan kepada pemain atau penggiat industri perfileman dan teater. Sesebuah karya yang dihasilkan itu boleh diberikan nilai tambah jika disuntik dengan idea yang terhasil daripada pembacaan karya sastera.

“Sebelum terhasilnya filem atau drama, skrip itu perlu sarat dengan nilai sasteranya. Skrip yang kaku dan tiada nilai estetika tiada gunanya. Begitu juga dengan pengarahnya yang mengarah drama dan filem. Seorang pengarah yang mahukan karyanya dianggap “hidup” perlu banyak membaca karya sastera, novel, cerpen atau puisi kerana melalui pembacaan itu, maka terhasilnya idea baharu yang lebih segar. Hal ini turut mencerminkan kelemahan sesuatu drama yang hanya mengambil idea melalui pandangan umum dan tafsiran yang mempunyai makna selapis.

Dalam dunia pengarahan, elemen sastera tidak boleh dipinggirkan. Membikin karya drama atau apa-apa sahaja usah kerana ingin menerapkan elemen hiburan semata-mata, tetapi perlu ada jiwa dan terkandungnya maksud tersirat. Kandungan sastera yang baik juga membantu penulis untuk menghasilkan skrip yang ada wibawa, selain keberkesanan aksi para pelakonnya,” ujar Sabri Yunus.

Menurut Eman Manan, seharusnya pelakon juga perlu menguasai ilmu kebahasaan dengan baik dan satu daripada kuncinya adalah dengan membaca buku sastera. Hasil bacaan itu dapat meningkatkan kemahiran berbahasa semasa menuturkan dialog, terutamanya untuk pemilihan istilah dan penggunaan kata yang tepat maksudnya.

Sementara itu, Farid Amirul menjelaskan, “Uniknya, karya Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti ini, Sabri tidak membekalkan skrip sejak awal, tetapi skrip itu ditulisnya di lokasi penggambaran. Pada penilaian saya, Sabri lebih mementingkan penguasaan watak perwatakan dalam babak yang akan dilakonkan, dan dari situlah skrip itu dapat dihayati dengan lebih mendalam”.

Oleh hal yang demikian, situasi ini dapat menjelaskan bahawa betapa pentingnya drama atau filem itu menerapkan nilai ilmu dalam sesebuah karya. Hal ini secara halus mendidik masyarakat untuk berfikir dan menimbulkan minat mereka untuk mengetahui dengan lebih teliti tentang sesuatu tujuan karya itu dihasilkan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.