13 Jun 2022, 20:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Leftenan Kolonel Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli menerima anugerah Darjah Setia Mahkota Perlis (S.S.P.) bersempena dengan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis Kali Ketiga bagi tahun ini oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Istiadat ini juga dilangsungkan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun baginda yang ke-79 pada 17 Mei 2022 yang lalu di Balairung Seri Istana Arau pada pagi tadi.

Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama-sama Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat sama dalam majlis istiadat tersebut.

Leftenan Kolonel Prof. Ts. Dr. Zaliman mengetuai sejumlah 70 orang penerima anugerah masing-masing pada sesi hari ini. Pada masa yang sama, penganugerahan kepada Naib Canselor UniMAP itu bersamaan dengan kejayaan UniMAP baru-baru ini yang telah berjaya diiktiraf oleh sistem pemeringkatan Times Higher Education (THE) bermula tiga tahun yang lalu.

Pengiktirafan THE adalah berdasarkan lima kriteria utama yang merangkumi Pengajaran, Penyelidikan, Pemetikan, Pendapatan daripada Industri, dan Pengantarabangsaan, melalui tiga penilaian, iaitu THE World University Rankings, THE Asia University Rankings, dan THE Impact Rankings.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.