16 Jun 2022, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 13 761 (87.88%) orang calon layak dianugerahkan sijil bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan sebanyak 11 orang (0.07%) telah memperoleh keputusan Cemerlang Tertinggi (A+) dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Bilangan calon yang memperoleh Cemerlang Minimum A- (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki pula adalah sebanyak 475 orang (3.03%).

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Puan Hajah Norhayati Haji Ab Wahab mengumumkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2021 ialah 4.81.

Beliau turut mengumumkan, sebanyak 65 orang calon (76.47%) daripada 85 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan layak memperoleh sijil SPM. “Pencapaian ini merupakan suatu pencapaian baik yang ditunjukkan oleh calon-calon CBK,” jelas beliau dalam Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu, sebanyak 11 orang calon Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) telah menduduki peperiksaan dan sembilan orang calon layak memperoleh sijil (81.82%). Sebanyak tiga orang calon pula lulus dalam semua mata pelajaran. Puan Hajah Norhayati menyifatkan pencapaian tersebut sebagai cemerlang meskipun mereka menghadapi cabaran dan dugaan dalam mengharungi kehidupan seharian.

Tambah beliau, pendaftaran telah dibuka mulai 8 Mei 2022 hingga 23 Jun 2022 untuk calon SPM 2021 yang ingin mengambil peperiksaan SPM Ulangan 2022, manakala pendaftaran bagi calon persendirian telah dibuka pada 8 Mei 2022 lalu hingga 10 Julai 2022. Pendaftaran boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman web Lembaga Peperiksaan di sppat.moe.gov.my.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon serta mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pejabat Pendidikan Wilayah, semua petugas, ibu bapa, guru-guru, pentadbir sekolah, pihak media dan masyarakat yang menunjukkan keprihatinan terhadap pendidikan secara berterusan pada peringkat sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.