16 Jun 2022, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) rata-ratanya dianggap sebagai cabaran dan sukar buat semua pelajar yang terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian ketika wabak COVID-19 melanda negara.

Namun begitu, bagi tiga orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, perkara tersebut bukanlah perkara yang boleh dijadikan alasan untuk tidak meraih kejayaan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana mereka bangkit mengejar sukatan pelajaran sekembalinya ke sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka. Pelajar-pelajar ini diraikan dalam Sidang Media Pengumuman Rasmi Keputusan Peperiksaan SPM 2021 peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini.

Puteri Aishah Megat Shamrolshah (tengah).

Bagi Puteri Aishah Megat Shamrolshah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr. Ismail yang memperoleh keputusan 9A+, kesukaran dalam mempelajari mata pelajaran Matematik Tambahan berjaya ditepis dengan usaha membuat latih tubi secara konsisten dan menyertai kelas tambahan untuk menaikkan lagi gred. Pada akhirnya, beliau berjaya melonjakkan gred daripada C+ kepada A+ dalam mata pelajaran tersebut. Puteri Aishah yang merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik berazam untuk membina kerjaya dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering and Maths) pada masa akan datang.

 

Ahmad Shazrazin Mohd Shuuharizal (kanan).

Bagi calon berkeperluan khas (CBK) dengan masalah penglihatan dari SMK Pendidikan Khas Setapak, Ahmad Shazrazin Mohd Shuuharizal, beliau menghadapi kesukaran dalam mengejar semula sukatan pelajaran yang dipelajari semasa tempoh PdPR. Namun begitu, berkat keazaman dan kesungguhan beliau, akhirnya beliau berjaya menggenggam keputusan 9A dalam SPM 2021. Ahmad Shazrazin berpegang pada prinsip tahu akan kemampuan sendiri dan tidak terlalu mengikut orang lain serta menjadi diri sendiri. Beliau berterima kasih kepada guru-guru yang banyak membantu meningkatkan kefahaman beliau dalam pelajaran dan ingin menyambung pelajaran dalam bidang seni.

Lew You De (kiri).

Sambutan Hari Bapa pastinya lebih manis apabila pencapaian cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2021 oleh Lew You De dijadikan sebagai hadiah buat bapanya. Pelajar dari SMK Seri Bintang Selatan itu menitipkan kata-kata semangat buat rakan-rakan yang lain agar sentiasa tekun dan mempunyai disiplin diri yang tinggi untuk mencapai cita-cita. You De yang meminati mata pelajaran Matematik mengimpikan cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke luar negara kelak.

Segala cabaran dan rintangan pasti akan dapat diatasi dengan semangat dan usaha yang konsisten dalam melakukan sesuatu perkara. Kejayaan pelajar-pelajar ini seharusnya dijadikan inspirasi buat masyarakat supaya dapat menyumbang khidmat bakti buat diri sendiri, keluarga, masyarakat serta tanah air tercinta.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!