Oleh Suyuthi Yusuf
16 Jun 2022, 20:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manjung – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim mencemar duli berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Manjung, Perak bagi menghadiri sebuah acara yang berlangsung pada pagi tadi. Mengiringi keberangkatan tiba baginda ialah Timbalan Menteri Pendidikan I, YBhg. Dato’ Dr. Mah Hang Soon, Exco Pendidikan, Pengajian dan Sumber Manusia Negeri, YBrs. Tuan Ahmad Saidi Mohamad Daud, dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Tuan Aznan Alias.

SMK Seri Samudera merupakan Sekolah Amanah Negeri Perak di bawah Program Sekolah Amanah (trust school) yang diuruskan oleh Yayasan Amir. Sekolah ini merupakan antara 94 buah sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyertai program tersebut. Program Sekolah Amanah ini dibimbing oleh LeapEd Services Sdn. Bhd.

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim sedang melawat tapak pameran kreativiti dan inovasi di SMK Seri Samudera.

Menurut pengetua sekolah berkenaan, iaitu Puan Sahila Shukor, SMK Seri Samudera telah melalui banyak cabaran dan rentetan kejayaan hasil integrasi dan kolaborasi dengan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Manjung dan seluruh warga sekolah di bawah bimbingan pihak Yayasan Amir dan LeapED Service Sdn. Bhd.

“SMK Seri Samudera sebagai sebuah sekolah amanah yang bermatlamat untuk membawa perubahan terhadap prestasi sekolah dan meningkatkan kemenjadian pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara,” jelas beliau.

Pelbagai program telah dilaksanakan oleh sekolah tersebut. Antara tujuannya termasuklah menambah baik proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sejajar dengan Pembelajaran Abad ke-21 yang merangkumi 14 Kompetensi Struktur Pembelajaran Koperatif (CLS), menghasilkan lebih banyak guru cemerlang yang serba boleh melalui Pembangunan Profesional Berterusan (CPD), Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan Membudayakan Kajian Tindakan serta meningkatkan pembangunan modal insan melalui penubuhan Student’s Voice Group (SVG) dan aktiviti kokurikulum.

DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan bergambar bersama-sama dengan guru-guru SMK Seri Samudera.

Sepanjang lebih lima tahun memainkan peranan sebagai sekolah amanah, pelbagai kejayaan telah diraih dan dilakar oleh guru dan pelajar sekolah tersebut. Antara kejayaan yang telah dicapai pada peringkat negeri dan antarabangsa ialah:

  • Pada tahun 2020, SMK Seri Samudera telah berjaya mencapai sasaran 100 peratus lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  • Dua orang pelajar SMK Seri Samudera berjaya menyertai World Robotic Olympiad Peringkat Antarabangsa serta 10 orang pelajar berjaya menyertai Universal Robotic Challenge 2021.
  • Seorang daripada pelajar SMK Seri Samudera, iaitu Muhammad Alif Iskandar telah berjaya merangkul Anugerah Pesilat Terbaik. Dalam Pertandingan Virtual Silat Negeri Perak yang ber;angsung pada tahun 2021, beliau turut merangkul gelaran Johan bagi Negeri Perak.
  • SMK Seri Samudera mewakili negeri Perak dalam Pertandingan Drama KOMSAS Peringkat Kebangsaan pada tahun 2021.
  • SMK Seri Samudera mewakili Malaysia dalam perkongsian amalan terbaik serta inovasi pusat sumber yang dinamakan OASIS di World Education Week. Pelajar sekolah tersebut juga telah terlibat sebagai hos Global Students Hub dengan bimbingan LeapED Service Sdn. Bhd.
Antara produk inovasi yang telah dihasilkan oleh pelajar SMK Seri Samudera.

Dalam majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat melawat Kelas Pendidikan Khas dan Kelas Kompetensi Struktur Pembelajaran Koperatif (CLS) Tingkatan 5. Selain itu, baginda juga berkenan melawat pameran inovasi yang berlangsung di sekolah tersebut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.