Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Qabil Irfan berjaya mengekalkan prestasinya sebagai juara dalam Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2022 Pusingan Kedua di Litar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra yang berlangsung pada 18 dan 19 Jun 2022.
Beliau berjaya menewaskan saingan rapatnya, Adi Putra yang menduduki tempat kedua dengan perbezaan 10 jumlah mata, iaitu Qabil meraih sebanyak 86 mata, manakala Adi mengumpul 76 mata. Tempat ketiga dalam acara ini dimenangi oleh Akif Abdullah dengan jumlah mata keseluruhan sebanyak 66 mata.
Dua pelumba terbaik pada akhir kejuaraan musim ini secara tidak langsung akan terpilih sebagai wakil negara pada FIM MiniGP World Finals, yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada November 2022 nanti.
Sementara itu, dalam saingan SIC Ohvale Championship (110cc), johan bagi acara tersebut ialah Airel Marzuki, diikuti naib johan, Qayyim Razin dan tempat ketiga, Aqil Ramadhan.
Anakanda bongsu Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, iaitu YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra, berkenan untuk menyempurnakan acara penyampaian trofi kemenangan kepada para pemenang dengan diiringi oleh Prinsipal ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.
Puteri Tuanku Raja Muda Perlis, YAM Sharifah Farah Adriana, turut berkenan berangkat menyaksikan Perlumbaan 2 SIC Ohvale Championship dan FIM MiniGP Malaysia Series pada petang semalam.