20 Jun 2022, 21:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Pada 20 Jun 2022, majalah yang menjadi rujukan pelajar pada peringkat sekolah menengah dan universiti, Dewan Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan program Majalah Dalam Kelas (MDK) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2, Negeri Sembilan. Sebanyak 150 orang murid telah menyertai program MDK yang bermula seawal pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari.

Majlis perasmian program MDK yang disempurnakan oleh Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, DBP.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Ghani Abu, Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah, DBP. “Saya berasa amat berbangga kerana pihak sekolah telah memilih majalah terbitan DBP sebagai bahan rujukan dalam melaksanakan proses pembelajaran di dalam kelas,” jelas Encik Abdul Ghani.

Encik Abdul Ghani Abu (berdiri tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama-sama barisan pentadbir SMK Seremban Jaya 2.

Tambah beliau lagi, “Kandungan majalah Dewan Siswa sememangnya sesuai dijadikan rujukan dan menjadi sumber inspirasi kepada murid untuk melengkapkan ilmu pengetahuan dan menambah pengalaman. Bahasa Melayu standard yang digunakan dalam setiap ruangan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa juga boleh meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan murid, terutamanya dari aspek tatabahasa dan kosa kata. Hal ini selaras dengan matlamat sekolah untuk membuat lonjakan dalam pencapaian bahasa Melayu. Dalam majalah Dewan Siswa, terdapat ruangan “Bimbingan” yang menghimpunkan contoh soalan latihan untuk peperiksaan. Maka itu, murid boleh membuat latih tubi dan ulang kaji sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan,” demikian jelas Encik Abdul Ghani yang turut menerangkan serba ringkas tentang kandungan majalah Dewan Siswa dalam ucapannya.

Deklamasi sajak “Seorang Tua Bernama Bahasa” karya Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan yang dipersembahkan oleh Muhammad Luqman Amsyar Jamaludin.

Pengetua SMK Seremban Jaya 2, iaitu Yang Berusaha Haji Muhammad Haji Mohd Nor menyatakan bahawa pihak sekolah sentiasa mengutamakan pencapaian murid dari semua aspek merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Maka itu, barisan pentadbir dan para guru sentiasa memikirkan program yang boleh meningkatkan pencapaian murid dalam semua aspek tersebut. Sehubungan dengan hal itu, pihak sekolah memutuskan untuk mengadakan program MDK yang bertujuan untuk membudayakan pembacaan majalah Dewan Siswa dalam kalangan murid. Selain itu, majalah Dewan Siswa juga boleh dijadikan rujukan oleh murid bagi meningkatkan kecekapan mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu.

Murid melakukan aktiviti “Menukar Rencana kepada Pantun”.

“Majalah Dewan Siswa sangat sesuai digunakan sebagai bahan bantu mengajar kerana majalah ini sarat dengan maklumat dan pengetahuan yang sangat berguna untuk dibaca dan diketahui oleh murid. Kandungan majalah Dewan Siswa juga turut memaparkan isu semasa yang berlaku di dalam dan di luar negara, dan secara tidak langsung dapat meluaskan pengetahuan am dalam kalangan murid,” demikian jelas Haji Muhammad Haji Mohd Nor yang ternyata gembira kerana sekolahnya terpilih sebagai lokasi penganjuran program MDK oleh sidang editor majalah Dewan Siswa.

Murid mendengar penerangan tentang kandungan majalah Dewan Siswa.

Sememangnya program MDK bermatlamat untuk memperkenalkan majalah Dewan Siswa secara langsung kepada murid dan guru bagi menarik perhatian mereka terhadap majalah terbitan DBP. Selain penerangan tentang majalah Dewan Siswa, murid juga diberi aktiviti berbentuk interaktif dengan menggunakan bahan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa. Aktiviti sebeginilah yang menjadikan majalah Dewan Siswa sebagai bahan tambahan dan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Yang menariknya dalam program MDK ini, murid berpeluang mendengar taklimat yang disampaikan oleh editor majalah tentang panduan menulis karya. Sesi taklimat tentang ruangan majalah dan panduan penulisan oleh editor secara tidak langsung dapat memupuk minat pelajar untuk menulis dan mendorong mereka untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan deskriptif dan kreatif.

Vorid Iskandar Abu Bakar.

“Saya berasa teruja dapat menyertai program MDK,” demikian ujar Vorid Iskandar Abu Bakar, pelajar Tingkatan Lima Ibnu Sinar, SMK Seremban Jaya 2. Menurut pelajar tersebut, hingga kini dia tidak melepaskan peluang untuk membaca majalah Dewan Siswa kerana kandungan majalah yang menarik dengan pelbagai cerita yang menyeronokkan pembaca sepertinya. Selain itu, Vorid Iskandar juga mengakui dia berasa cemburu apabila melihat remaja seusianya berbakat dalam menghasilkan karya seperti cerpen dan puisi. Lantaran itu, dia berharap agar suatu hari nanti dia akan berjaya menghasilkan karya seperti remaja yang lain dan melihat karyanya tersiar dalam majalah Dewan Siswa.

Murid melakukan aktiviti “Membina Menara Belon”.
Guru yang turut serta dalam program MDK.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.