21 Jun 2022, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sidang media bersama-sama Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin (tengah) turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan (kiri) dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran (kanan).

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebagai usaha untuk murid memupuk rasa cinta akan sekolah dalam kehidupan mereka.

“Antara perkara yang kita tekankan menerusi konsep Sekolahku SEJAHTERA ini adalah untuk mewujudkan suasana sekolah yang anak-anak kita sangat seronok untuk hadir sehingga kita tidak perlu memaksa mereka, sebaliknya mereka sendiri yang berasa bahawa sekolah ini sebagai tempat kegemaran mereka,” jelas Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang media bersempena dengan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-66, hari ini.

Apabila menyentuh berkenaan dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak menduduki peperiksaan tersebut pada tahun 2021, beliau turut menyatakan bahawa melalui konsep Sekolahku SEJAHTERA, KPM berhasrat untuk melahirkan murid sekolah rendah dan menengah yang memahami bahawa sekolah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka sejak kecil lagi. Maka itu, mereka tidak sewajarnya melupakan sekolah sebagai tempat yang terpenting dalam melakar masa hadapan mereka, iaitu dengan menghadiri peperiksaan SPM.

“Jika perasaan ini dapat diwujudkan pada umur yang masih muda, maka pada masa akan datang isu ini dapat diuruskan secara holistik dan menyeluruh,” jelas YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

Menurut beliau, masalah ketidakhadiran calon SPM bukanlah sesuatu yang baharu dan KPM sentiasa memberikan perhatian yang menyeluruh agar dapat mencari pendekatan dan mekanisme yang paling sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

Mengulas lanjut berkenaan dengan calon SPM yang tidak menduduki peperiksaan pada tahun yang sepatutnya, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa apabila seseorang murid itu telah tamat sekolah menengah dan tidak menduduki peperiksaan SPM, mereka telah terkeluar daripada sistem persekolahan. Oleh itu, calon tersebut masih boleh menduduki SPM pada tahun-tahun berikutnya sebagai calon persendirian.

Sidang media itu diadakan di Wisma DBP dan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.