21 Jun 2022, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-66 pada hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah melancarkan pelantar penerbitan digital JendelaDBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.

Menurut YB Menteri Kanan Pendidikan, penggunaan JendelaDBP sebagai ruang untuk DBP memperkenalkan pelbagai konteks penggunaan bahasa dalam pelbagai sudut telah menarik minat pelbagai pihak untuk memanfaatkan JendelaDBP.

Kita perlu bergerak seiring dengan pembangunan mengikut zaman di luar sana yang lebih pantas bagi memastikan JendelaDBP ini berperanan sebagai ‘tingkap’ yang bakal menjadi rujukan kepada semua pihak.

YB Menteri Kanan Pendidikan merasmikan pelantar penerbitan digital JendelaDBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Dalam sidang media yang diadakan selepas majlis tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut memuji tanggungjawab DBP yang tidak ketinggalan dalam menyediakan bahan penerbitan atau memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dengan menggunakan pendekatan yang mengambil kira kemudahan akses kepada orang ramai.

“JendelaDBP mampu memberikan manfaat dan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah golongan muda,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, beliau memaklumkan bahawa JendelaDBP dibangunkan bagi menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya dalam bentuk digital bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Platform digital JendelaDBP ini menjadi pusat sehenti untuk semua produk penerbitan, bahasa, sastera dan budaya yang dihasilkan oleh DBP, sekali gus dapat diperluas fungsinya sebagai pusat untuk mengakses dan membeli semua produk DBP.

JendelaDBP sebagai produk inovasi dalam pemusatan data dengan kepelbagaian kandungan digital yang dibangunkan pada tahun 2021 ini terdiri daripada lima struktur utama, iaitu sohor kini, e-majalah, ujana, TV DBP, Radio DBP dan Peka Bahasa.

Melalui JendelaDBP, selain berperanan sebagai pusat tumpuan yang menempatkan, mempromosikan serta memasarkan produk penerbitan digital DBP di bawah “satu bumbung”, platform penyampaian perkhidmatan DBP ini juga disesuaikan dengan keperluan pengguna terhadap penerbitan bercetak DBP seperti buku dan majalah. Melalui usaha ini, capaian, carian bahan penerbitan, pelbagai hebahan serta liputan aktiviti DBP adalah lebih meluas, cepat dan berkesan seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang menghubungkan manusia melalui dunia digital.

Di samping itu, DBP sebagai penerbit kerajaan yang terbesar dan berwibawa, pembangunan pelantar penerbitan digital JendelaDBP ini dapat memberikan maklumat data raya tentang kecenderungan minat pembaca dan pengguna berdasarkan jumlah akses terhadap pelantar penerbitan digital ini. Melalui data tersebut, DBP dapat menentukan hala tuju dan membuat keputusan yang berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau perniagaan berdasarkan data sebenar pada masa nyata dan seterusnya merancang produk terbitan yang bersifat komersial serta memenuhi keperluan khalayak.

Sepanjang pengoperasian pelantar penerbitan digital JendelaDBP dari 2 Mei 2021 hingga 14 Jun 2022, statistik capaian pengguna JendelaDBP adalah sebanyak 1 054 870 dan diakses oleh 78 buah negara. Pelantar JendelaDBP ini boleh dicapai melalui pautan https://jendeladbp.my/

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.