21 Jun 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Tiada lagi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai pada tahun ini,” demikian umum Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin. Beliau membuat pengumuman berkenaan menerusi sidang media khas di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya, pada 2 Jun lalu. Tambah beliau, pemansuhan PT3 dilihat wajar dan selari dengan trend pendidikan kini. Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat wajar berikutan amalan pentaksiran yang mengumpulkan sukatan mata pelajaran itu tidak lagi diamalkan di kebanyakan negara maju.

“Amalan pentaksiran yang mengumpulkan silibus dalam tempoh tiga hingga lima tahun itu tidak lagi diamalkan di kebanyakan negara seluruh dunia,” jelas Menteri Kanan Pendidikan itu dalam sidang media tersebut. Beliau juga berpendapat keputusan yang dibuat oleh KPM mungkin kekal walaupun berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang.

“Saya fikir hal ini sesuatu yang kekal kerana kita telah mula mengamalkan PT3 ini sejak 2011. Maksudnya, guru, sekolah, ibu bapa dan pelajar sudah memahami tentang pentaksiran berdasarkan sekolah dan bilik darjah,” ulas beliau. Tambah beliau, majoriti ibu bapa tidak begitu cenderung dengan peperiksaan berpusat ini kerana membebankan proses pembelajaran anak-anak mereka.

Sebelum ini, peperiksaan PT3 bagi pelajar tingkatan tiga ditangguhkan sejak 2020 ekoran penularan wabak COVID-19. Dalam hal ini, KPM difahamkan akan menambah baik penilaian berasaskan sekolah dan bilik darjah untuk memastikan murid mendapat penguasaan sepenuhnya dalam sesuatu topik yang diajar. Usaha KPM memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) itu dilihat sebagai satu daripada langkah drastik dalam aspek pendidikan negara supaya tidak terlalu bergantung pada pembelajaran berasaskan peperiksaan. Hal ini juga dapat disifatkan sebagai satu daripada langkah untuk mengurangkan tekanan guru dan pelajar. Pada masa yang sama, Pemansuhan PT3 ini dilihat sebagai satu langkah awal untuk negara tidak mengutamakan pembelajaran berorientasi peperiksaan semata-mata. Pelajar seharusnya diberi ruang yang seluas-luasnya untuk membina keupayaan diri berdasarkan potensi masing-masing agar dapat melahirkan generasi yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.

Sebelum ini, kebanyakan guru perlu menumpukan perhatian terhadap persiapan untuk menghadapi peperiksaan penting, termasuklah memastikan murid lebih bersedia dan perlu menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan kadar segera apabila perlu melakukan pelbagai cara termasuklah latihan tubi dan kelas tambahan. Oleh itu, pelaksanaan pentaksiran untuk mengukur tahap penguasaan dan prestasi pelajar secara menyeluruh dilihat sebagai satu daripada satu langkah untuk mengurangkan tekanan guru dan murid.

Dengan pemansuhan PT3 mulai tahun ini, PBS yang mengandungi tiga buah komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) perlu dimantapkan. Pemansuhan PT3 juga membolehkan guru menilai kemampuan pelajar secara menyeluruh. Melalui pemansuhan PT3, pelajar bukan sahaja dinilai melalui pencapaian akademik, sebaliknya aspek sukan dan kokurikulum juga dapat dinilai dengan lebih meluas, sekali gus mampu mengukuhkan Pentaksiran PBS. Melalui pentaksiran ini, kita dapat melihat pembangunan bakat dan potensi murid. Oleh itu, hal ini sudah tentu dapat menyeimbangkan dimensi pelajar dari segi emosi dan intelek.

Pemansuhan PT3 merupakan langkah positif KPM. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh dua tahun, KPM telah memansuhkan dua peperiksaan utama. Proses ini dapat dikelaskan sebagai usaha bagi pendidikan negara beralih daripada budaya pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada penilaian yang lebih holistik terhadap bakat serta kemahiran murid.

Tindakan yang sama turut dilakukan oleh Indonesia melalui penghapusan peperiksaan tahunan kebangsaan (UN) yang digantikan dengan sistem penilaian baharu untuk menjamin penilaian pelajar yang lebih holistik termasuklah pencapaian dalam bidang kokurikulum. Walaupun sedikit berbeza, Singapura juga mengamalkan pendekatan baharu dengan menghapuskan peperiksaan pertengahan tahun di semua sekolah rendah dan menengah menjelang tahun 2023.

Dari sudut positif, tindakan ini dapat mengubah budaya pemikiran daripada pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada pembelajaran yang lebih menyeluruh dan dinamik, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Oleh hal yang demikian, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) didapati lebih komprehensif kerana merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Kepelbagaian potensi, bakat dan kebolehan murid pastinya akan diberikan tumpuan khusus serta diraikan. Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai daya kreatif tinggi perlu diasah untuk menyertai pertandingan inovasi, manakala pelajar yang mahir dalam aspek berkarya dapat diketengahkan untuk pertandingan kesenian dan kebudayaan.

Fokus pembelajaran di sekolah juga akan berubah, misalnya daripada mempelajari format menjawab soalan dan persediaan peperiksaan berubah kepada penghayatan kandungan pembelajaran itu sendiri. Meskipun PT3 dimansuhkan, sistem penilaian bagi pelajar masih berjalan, tetapi dengan lebih banyak menggunakan kepelbagaian kaedah dan penilaian yang lebih fleksibel.

Walau bagaimanapun, beberapa perkara perlu ditambah baik bagi menjamin objektif PBS dapat dicapai. Pemantapan latihan pengendalian PBS kepada guru perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya guru dapat melakukan persiapan mencukupi untuk mengubah perancangan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Latihan yang menyeluruh perlu diadakan bagi mempersiapkan guru dengan penguasaan, pengetahuan dan kemahiran mencukupi untuk menghadapi kaedah terbaharu ini. Kekurangan dalam aspek latihan menyebabkan guru-guru tidak bersedia dan tidak yakin untuk menerapkan PBS dalam amalan pengajaran, sebaliknya kekal dengan kaedah pengajaran semasa berbanding dengan menukarnya kepada elemen baharu.

Selain itu, beban tugas guru juga perlu diambil kira terutamanya dalam kelas yang mempunyai bilangan murid yang banyak. Keadaan ini dapat menjejaskan keberkesanan pelaksanaan PBS kerana proses penilaiannya bersifat individu, berbanding dengan penilaian dalam pentaksiran yang bersifat pukal. KPM mungkin boleh mempertimbangkan saranan pelbagai pihak berkaitan dengan isu beban tugas guru agar dapat menyediakan pembantu guru untuk penilaian PBS bagi kelas bersaiz besar.

Pada hakikatnya, PBS dapat menyediakan murid untuk masa hadapan yang lebih baik melalui penilaian lebih holistik. Hal ini menjadikan mereka tidak terikat dengan skema jawapan dan pada akhirnya menjadikan mereka lebih kreatif, inovatif serta mengenali keupayaan dan potensi diri. Keputusan yang dilakukan oleh KPM sudah tentu melalui proses yang panjang dan diteliti secara mendalam oleh pakar-pakar yang terlibat dalam ranah pendidikan negara. Maka, apa-apa yang terbaik demi pembangunan pendidikan negara wajarlah disokong oleh seluruh pihak.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.