Oleh Anuar Ahmad
21 Jun 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengumuman pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah diduga oleh banyak pihak selepas PT3 ditangguhkan buat sementara waktu pada tahun lalu akibat pandemik COVID-19. Rata-rata ibu bapa, guru dan kebanyakan pihak menyambut baik pemansuhan PT3 tersebut kerana berpandangan bahawa PT3 sudah tidak lagi sesuai dengan amalan sistem pendidikan pada masa ini yang lebih mementingkan pentaksiran murid secara berterusan.

Pada masa yang sama, usaha KPM untuk terus menambah baik sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilihat sebagai sesuatu yang selari dengan konsep penilaian pembelajaran yang holistik dan menyeluruh. Antara cadangan KPM yang dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada pelaksanaan PBD ialah usaha untuk meningkatkan kemahiran guru dalam melaksanakan PBD mengikut keperluan masing-masing. Misalnya, guru-guru akan diberi latihan dan kemahiran melaksanakan PBD di dalam kelas yang mempunyai bilangan murid yang banyak.

Suatu perkara yang menarik termasuklah  pengenalan sistem peperiksaan akhir tahun apabila KPM akan menyediakan bank soalan. Di bawah usaha ini, pihak KPM akan menyediakan soalan secara berpusat bagi peperiksaan akhir tahun untuk lima mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bagi murid tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan semua mata pelajaran untuk murid tingkatan satu hingga tingkatan tiga di sekolah menengah.

Antara sebab yang telah dikemukakan oleh Menteri Kanan Pendidikan berkaitan dengan bank soalan ini disediakan termasuklah wujudnya aduan dalam kalangan ibu bapa yang mendakwa soalan peperiksaan yang disediakan oleh guru mempunyai perbezaan antara sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sekolah yang menyediakan soalan yang mudah dan ada sekolah menyediakan soalan yang lebih sukar untuk dijawab oleh murid-murid.

Bagi menyelesaikan isu ini, KPM telah mengambil keputusan terbaik untuk melakukan pembinaan soalan pada peringkat pusat dan kemudian soalan tersebut akan disimpan di dalam sistem bank soalan. Para guru boleh mengakses sistem bank soalan ini dengan memilih soalan-soalan yang difikirkan sesuai untuk diagihkan kepada murid masing-masing. Malah pihak guru sendiri boleh memilih tarikh peperiksaan akhir tahun yang ingin dilaksanakan pada peringkat sekolah.

Pelaksanaan bank soalan ini dilihat oleh banyak pihak dapat membantu guru meringankan beban mereka. Selepas pelaksanaan bank soalan ini dimulakan, guru tidak lagi perlu membina soalan peperiksaan mereka sendiri untuk murid-murid di sekolah mereka, sebaliknya hanya perlu memilih sahaja soalan yang telah disediakan di dalam sistem bank soalan KPM.

Pemansuhan PT3 dan pelaksanaan PBD dipercayai dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran guru. Pelaksanaan PBD menuntut para guru meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka dalam tiga komponen utama perancangan pengajaran.

Pertama, setiap guru bertanggungjawab menguasai isi kandungan bagi setiap mata pelajaran. Guru mestilah menguasai keseluruhan sukatan pelajaran berdasarkan latihan ikhtisas mereka. Hal ini menjadi tanggungjawab setiap guru untuk menguasai topik pengajaran sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas. Komponen kedua, adalah menjadi tanggungjawab hakiki semua guru untuk memahami kepelbagaian keupayaan murid, mengenal pasti, memahami serta memantau kepelbagaian keupayaan serta gaya belajar murid-murid di bawah tanggungjawab mereka. Apabila guru memahami kepelbagaian murid, maka guru akan dapat merancang aktiviti pembelajaran yang sesuai dan berkesan berdasarkan kepelbagaian tersebut.

Komponen ketiga ialah tanggungjawab guru melaksanakan pentaksiran murid secara berkesan. Selepas menguasai isi kandungan pengajaran dan memahami kepelbagaian murid di dalam kelas, setiap guru perlu merancang dan melaksanakan pentaksiran pembelajaran mengikut keperluan dan keadaan murid masing-masing. Oleh sebab itu, dalam prinsip pentaksiran pendidikan format PBD, setiap soalan peperiksaan yang dibina untuk mengukur prestasi murid mestilah mengambil kira keupayaan dan kesediaan murid-murid.

Pentaksiran dianggap sah dan boleh dipercayai apabila benar-benar dapat mengukur keupayaan sebenar murid-murid. Apabila KPM telah menyediakan bank soalan, guru-guru berpeluang memilih soalan yang berkualiti dan sesuai dengan keperluan pelajar masing-masing.

Bank soalan tersebut mampu memperkasakan kepakaran guru-guru di setiap sekolah untuk membina soalan peperiksaan yang sesuai dengan keperluan murid masing-masing pada masa akan datang. Tujuan peperiksaan dalaman pada peringkat sekolah adalah untuk menilai tahap kemajuan murid dengan pencapaian diri sendiri  dalam ujian sebelumnya. Tujuan peperiksaan pada peringkat sekolah tidak bertujuan untuk membandingkan seseorang murid itu dengan murid sekolah yang lain. Apatah lagi membuat perbandingan dengan sekolah di kawasan lain yang mempunyai perbezaan yang ketara, misalnya soalan sekolah pedalaman dibandingkan dengan sekolah berasrama penuh.

Pemansuhan PT3 dan pengenalan PBD sudah pasti membuka lembaran pemikiran baharu masyarakat terhadap amalan pentaksiran pendidikan. Masyarakat khususnya ibu bapa harus memahami kewujudan tiga bentuk penilaian dalam pendidikan yang diamalkan oleh seluruh negara di dunia. Pertama, ujian diagnostik, iaitu ujian yang dilaksanakan sebelum sesuatu pembelajaran bermula. Sebagai contoh, ujian kemasukan darjah satu untuk mengukur tahap keupayaan membaca dan menulis. Kedua, pentaksiran untuk mengukur kemajuan murid yang dilaksanakan secara bersiri secara formatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tujuan pentaksiran yang bersifat kemajuan ini mampu mengukur kemajuan prestasi murid dalam pembelajaran mereka. Akan tetapi, pentaksiran formatif yang hanya mengukur kemajuan seseorang murid ini tidak boleh digunakan untuk membandingkan prestasi murid tersebut dengan murid yang lain.

Ketiga ialah pentaksiran sumatif dalam bentuk peperiksaan yang bersifat pemilihan seperti SPM atau peperiksaan untuk kemasukan ke asrama penuh. Tujuan peperiksaan ini adalah untuk menentukan murid yang mempunyai prestasi yang tinggi berbanding dengan murid yang lain. Matlamat pentaksiran dalam bentuk peperiksaan pemilihan adalah untuk tujuan isihan berdasarkan prestasi murid berbanding dengan aspek yang lain. Oleh sebab itu, di kebanyakan negara maju, peperiksaan pemilihan ini hanya dilaksanakan sekali sahaja dalam sistem pendidikan mereka, iaitu pada akhir tahun penggal persekolahan.

Pemansuhan PT3 ini bermaksud kita sudah memansuhkan suatu bentuk peperiksaan pemilihan pada tahap tingkatan tiga. Hal ini merupakan sesuatu yang amat baik. Malah, pada masa yang sama kita juga telah bergerak selangkah ke hadapan apabila mula memperkenalkan lebih banyak peperiksaan bersifat kemajuan dalam sistem pendidikan di negara kita.

Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.