21 Jun 2022, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Petaling Jaya – Konsep Sekolahku SEJAHTERA dianggap sebagai tunjang penting dalam ekosistem pendidikan, khususnya dalam usaha membentuk keperibadian murid semasa mereka berada di sekolah.

Hasil tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya, mendapati bahawa 14 elemen dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA berjaya diterapkan melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sedia ada secara semula jadi tanpa membebankan para pelajar, guru mahupun warga sekolah.

“Konsep Sekolahku SEJAHTERA memberikan penerapan nilai, etika, kerohanian dan identiti nasional dalam kalangan warga sekolah bagi melahirkan insan sejahtera yang menyumbang kepada kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan komuniti,” ujar guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Wan Zueliza W Mahyeddin ketika ditemu bual oleh Sidang Editor Dewan Masyarakat.

Menurut beliau, peranan guru bukan hanya tertumpu pada usaha untuk menyampaikan ilmu kepada murid, malah turut membimbing murid dengan membentuk keperibadian yang positif dalam segenap lapangan.

Pelajar tingkatan satu, Zafran Ahmad Zulhaimi, 15 tahun, berpendapat bahawa konsep Sekolahku SEJAHTERA mampu melahirkan generasi hebat dan berdaya saing.

Sementara itu, Keerthigah a/p Tharmanthiran, 13 tahun, pula berkongsi pandangan bahawa selain proses PdP di dalam kelas, aktiviti kokurikulum juga merupakan aktiviti yang paling menyeronokkan dalam sesi persekolahan.

Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan cabaran sepanjang 12 tahun menggalas tanggungjawab sebagai guru, Wan Zueliza turut menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Jelas beliau, pemansuhan tersebut bertepatan dengan agenda pembangunan pendidikan negara.

“Pemansuhan ini tepat pada masanya kerana pencapaian murid dapat dinilai dengan lebih komprehensif selepas ini,” jelas beliau semasa mengakhiri temu bual tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.