21 Jun 2022, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Menteri Kanan Pendidikan ketika menemu bual pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2021.

Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 16 Jun 2022 yang lalu setidak-tidaknya memberikan perkhabaran gembira buat sektor pendidikan negara. Pada kala sektor pendidikan negara sedikit terumbang-ambing dek pandemik COVID-19, kecemerlangan bagi keputusan SPM terus dicatatkan. Calon SPM 2021 yang juga merupakan kohort pertama Kurikulum Standard Sekolah Menegah (KSSM) berhasil merekodkan sebanyak 9696, iaitu 2.54 peratus daripada 407 097 calon memperolehi semua A. manakala, prestasi Gred Purata Nasional (GPN) turut menunjukkan penurunan sebanyak 0.06 peratus, iaitu daripada 4.86 peratus kepada 4.80 peratus.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa keluk pencapaian SPM negara saban tahun kekal cemerlang sejak SPM 2018. Sebagai imbasan, SPM bagi tahun 2018 mencatatkan sebanyak 8436 calon (2.15 peratus) yang memperolehi keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Bagi SPM 2019 pula, angka kecemerlangan terus konsisten dengan rekod sebanyak 8876 calon (2.28 peratus) memperolehi keputusan semua A. Begitu juga bagi SPM 2020 yang serba mencabar turut mengejutkan dengan peningkatan seramai 9411 pelajar (2.46 peratus) memperolehi semua A.

Namun begitu, calon SPM 2021 ini berbeza daripada calon-calon sebelumnya memandangkan kohort ini merupakan calon pertama yang dilahirkan dengan format mata pelajaran baharu, iaitu KSSM. KSSM merupakan sebuah sistem pengajian  moden yang diperkenalkan bagi menggantikan sistem Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang pertama kali dilancarkan pada 1988. KSSM yang bersifat kontemporari dan segar dengan suntikan elemen kemahiran seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif menjadi pakej lengkap dalam melahirkan pelajar yang berkompentensi. Set kemahiran yang diasah melalui format KSSM ini lebih bersifat holistik berpaksikan yang membolehkan pelajar menetapkan hala tuju terhadap bidang yang diminati sejak dibangku sekolah.

Sistem ini turut mengubahsuai pengkelasan sistem dua aliran klasik, iaitu Sains dan Sastera dengan menambah pakej yang lebih bervariasi melibatkan empat pakej, iaitu empat pakej Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pakej Sastera dan Kemanusiaan. Pemilihan bervariasi ini berupaya menjadi jambatan buat para pelajar untuk mengasah bakat dan kemahiran masing-masing sejak dari awal, sekali gus menjadi medan persediaan untuk peringkat pengajian yang lebih tinggi. Berdasarkan keputusan kohort pertama SPM 2021 yang memberangsangkan, pada dasarnya format KSSM ini menunjukkan gambaran positif tentang adaptasi para pelajar terhadap sistem tersebut.

Walau bagaimanapun, istimewanya calon SPM 2021 ini tidak sekadar berkisar tentang kohort KSSM pertama semata-mata, bahkan elemen cabaran dan di luar jangkaan yang dihadapi menjadikan calon SPM 2021 ini wajar diberikan kredit. Di sebalik episod buka dan tutup sekolah secara berpanjangan, sistem penggiliran persekolahan dan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diterapkan, keputusan yang dipamerkan tetap berada pada darjah yang luar biasa. Pembelajaran dalam keadaan yang agak merumitkan ini tentunya di luar lingkungan kondusif berbanding dengan amalan secara kebiasaanya yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Malah, calon SPM 2021 ini turut berpengalaman menjadi “calon penuh” SPM era pandemik yang bermula sejak 2020, iaitu ketika mereka berada di tingkatan empat.

Dari sisi positif, kohort SPM 2021 ini juga memberikan gambaran bahawa mereka berjaya mengadaptasi kaedah PdPR yang tentunya serba mencabar. Cabaran-cabaran yang telah dibangkitkan oleh banyak pihak seperti masalah jaringan Internet, ruang pembelajaran dan kadar tumpuan yang sukar dibuktikan sebagai bukan halangan untuk kohort ini meraih kejayaan. Lantas, perkembangan ini turut menunjukkan bahawa sistem PdPR ini terus relevan untuk dikembangkan sesuai dengan arus peredaran zaman.

Pencapaian cemerlang kohort SPM 2021 pastinya berdiri atas usaha keras para guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri. Oleh hal yang demikian, para guru bagi kohort SPM 2021 merupakan insan yang perlu diberikan kredit sepenuhnya. Guru-guru era pandemik ini melalui fasa yang jauh lebih mencabar. Tidak sekadar memikirkan anak-anak murid yang ketinggalan dalam pelajaran, malah mereka turut  mengimbanginya dengan bebanan berganda semasa berada di rumah. Walau bagaimanpun, dalam keadaan serba mencabar, anak murid yang dididik, tetap tidak dikesampingkan. Maka itu, terhasillah sebuah lagi legasi kecemerlangan era pandemik melalui SPM 2021 yang serba-serbi mencabar sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran itu berlaku.


Penulis, Pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah.

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!