23 Jun 2022, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Draf pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bukan hanya soal penguatkuasaan, khasnya aspek hukuman. Media lebih menyorot aspek penguatkuasaan, walhal dalam sidang media dengan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin pada 21 Jun 2022 di DBP, telah disebut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan bahawa cadangan pindaan itu bersifat holistik.

Aspek yang diberi penekanan dalam draf pindaan itu ialah peranan DBP sebagai badan bahasa utama di negara ini dalam bidang pentauliahan, penarafan, pelesenan, penguatkuasaan, perbadanan, dan pengantarabangsaan.

Akta DBP versi 1959 hanya berkaitan dengan penaikan taraf DBP sebagai jabatan kerajaan kepada badan berkanun. Maka itu, akta itu hanya memperuntukkan aspek prasarana atau struktur DBP dengan pernyataan umum tentang empat tujuan penubuhan DBP (menjadi enam tujuan dalam peluasan 1995). Aspek-aspek pindaan yang dicadangkan penting untuk pengisian fungsi DBP walaupun selama ini DBP telah melaksanakan enam objektif tersebut. Empat objektif pertama berkaitan dengan peranan bahasa, sastera dan penerbitan, sementara dua objektif tambahan pada tahun 1995.

Jika draf cadangan pindaan Akta DBP diluluskan, DBP mempunyai wibawa dan wewenang yang lebih jelas dalam pemenuhan fungsinya sebagai badan berkuasa bahasa yang utama di negara ini, khasnya yang berkaitan dengan wibawa dan wewenang pengeluaran tauliah, penarafan, pelesenan dan pelaksanaan aspek penguatkuasaan serta kegiatan di peringkat antarabangsa.

Semua pihak dimohon menunggu hasil pelaksanaan proses dan usaha draf pindaan itu dilakukan untuk diajukan kepada pihak berkuasa menurut tatacara yang ditetapkan. Untuk makluman, usaha mengangkat cadangan pindaan Akta DBP telah mengambil tempoh lebih 10 tahun dan DBP berharap dengan kejelasan hasrat kerajaan kini dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, DBP diberi peluang melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.