Oleh Suria Janib
25 Jun 2022, 07:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malam Wartawan Malaysia (MWM 2022) dan penganugerahan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM 2021) kepada pengamal media yang bergerak aktif melabuhkan tirainya malam tadi menyaksikan 42 orang calon diumumkan sebagai pemenang hadiah Emas, 46 calon pemenang Perak, 26 calon pemenang Gangsa dan dua orang pemenang Anugerah Khas.

Anugerah Khas dimenangi oleh Penasihat Kumpulan, Star Media Group, Datuk Seri Wong Chun Wai. Seorang lagi menerima anugerah yang sama ialah penulis prolifik, ahli Lembaga Pengarah Sarawak Media Group, serta penulis majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Dr. Jeniri Amir.  Kedua-duanya menerima wang tunai sebanyak RM5000 bersama trofi dan sijil penghargaan. Setiap pemenang HKM 2022 membawa pulang wang tunai yang bernilai antara RM1000 hingga RM10 000.

Dr. Jeniri Amir penerima Anugerah Khas HKM MPI-Petronas 2021.

Sebelum itu, Malaysian Press Institute (MPI) dalam kenyataannya menerima sebanyak 350 penyertaan HKM 2021 dan sebanyak 116 calon pemenang disaring untuk diberikan pengiktirafan pada majlis gilang-gemilang, malam tadi di Hotel Shangri-La.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, penilaian penentuan pemenang dikendalikan sepenuhnya oleh panel hakim bebas yang terdiri daripada wartawan veteran yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi berita dan ahli akademik dalam bidang kewartawanan dari universiti awam dan swasta. MPI bertindak sebagai fasilitator atau pemudah cara penyertaan.

Penyertaan HKM 2021 mencatatkan 35 peratus peningkatan, iaitu sebanyak 350 penyertaan berbanding dengan tahun 2020, iaitu sebanyak 228 penyertaan. Keadaan ini membuktikan bahawa kesediaan pengamal media untuk berdaya saing secara sihat dengan mempertaruhkan penulisan dan pelaporan sepanjang tahun 2021 melalui HKM 2021 kekal membara.

Kepantasan menyalurkan berita seiring dengan fakta sahih dan tepat dalam usaha mengekang penyebaran berita palsu, selain penggunaan pelbagai teknologi digital dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat mengikut kitaran 24 jam sehari dan 356 hari setahun adalah antara cabaran utama yang perlu didepani oleh kelompok wartawan profesional hari ini. Demikian menurut Datuk Dr. Chamil.

Lebih membanggakan MPI, penyertaan tahun ini tidak lagi dikuasai dan dimonopoli oleh media legasi atau tradisional tetapi disaingi oleh media di alam maya. Hal ini menggambarkan perubahan landskap baharu media dan kewartawanan di negara ini.

Menurut Datuk Dr. Chamil, karya yang dihantar untuk menyertai HKM tidak lagi berdasarkan media tradisional atau digital, tetapi berdasaran platform. Hal ini demikian kerana produk berita di alam nyata juga kini mampu diakses dalam talian.

Bagi meraikan sumbangan dan sebagai penghargaan terhadap pengamal media yang bertungkus-lumus menyajikan dan memaparkan berita, majlis kemuncak MWM 2022 memperlihatkan konsep baharu penyampaian anugerah, iaitu pemenang diumumkan oleh penerima Hadiah Kajai pada tahun-tahun sebelumnya sejak acara ini dianjurkan. Jika sebelum ini pemenang akan diumumkan oleh pengacara majlis, tetapi pada tahun ini sedikit perubahan dibuat untuk memberikan kelainan pada penyampaian anugerah kewartawanan yang paling berprestij ini.

Tokoh Wartawan Media, Tan Sri Datuk Johan Jaaffar diundang hadir berucap dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2022.

Dalam majlis yang sama, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Datuk Johan Jaaffar diundang sebagai tetamu kehormat dan diberikan penghargaan untuk melancarkan Malam Kemuncak MWM 2022.

Turut hadir sama memeriahkan majlis, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah yang mewakili Petronas selaku penaja utama HKM 2021, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, dan orang kenamaan yang lain.

Petronas menjadi penaja utama HKM kepada pemenang sejak tahun 1994 dengan nilai tajaan terkini berjumlah RM300 000.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dua orang bintang legenda negara, Anuar Zain dan Ella yang dibawakan khas oleh MPI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.