26 Jun 2022, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa kepesatan dan percambahan maklumat pada hari ini telah mencetuskan pelbagai idea baharu dalam merekabentuk peralatan peranti terkini. Pencarian maklumat secara konvensional biarpun dianggap sebagai ketinggalan oleh segelintir pihak, tetapi jika diamati secara mendalam, hal tersebut masih kekal relevan.

“Begitulah juga dengan perpustakaan yang tetap relevan walaupun pelbagai teknologi terkini telah tercipta seperti bacaan melalui e-buku dan sebagainya. Namun begitu, perpustakaan tetap boleh menggunapakai platform ini sebagai sebahagian daripada komponen maklumat dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan”, demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan “Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2022” yang diadakan di Ruang Pinjaman Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis di Kangar.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah Abdul Wahab dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Tuan Azizi Janan.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, majlis berkenaan merupakan satu lagi bentuk usaha dalam meningkatkan penguasaan membaca dan mendidik masyarakat supaya terus cinta akan ilmu pengetahuan. Program ini juga boleh dijadikan sebagai contoh atas usaha yang dilakukan oleh perpustakaan di negara ini sejak sekian lamanya.

Baginda percaya, hal tersebut bukan sahaja memberi impak yang tinggi kepada perpustakaan, tetapi kepada semua pihak yang telah menjadi nadi yang menggerakkan Pesta Buku ini sehingga dapat dianjurkan saban tahun. Pada tahun 2020, difahamkan sebanyak 28 568 pengunjung dari dalam dan luar Perlis telah hadir ke Pesta Buku dan Karnival Buku Perlis, sama ada untuk mendapatkan bahan bacaan ataupun menyertai aktiviti yang diadakan.

Tuanku Raja Muda turut mengcapkan syabas kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis atas usaha yang telah dilaksanakan sepanjang tahun dengan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana golongan dan berharap seluruh masyarakat dapat mengambil peluang untuk turut serta melibatkan diri dalam program-program galakan membaca anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang memberikan manfaat kepada semua golongan. Dengan suasana baharu perpustakaan yang telah ditambah baik, lebih kondusif dan selesa, baginda percaya perkara ini juga menjadi faktor pendorong masyarakat untuk melawat ke perpustakaan bertepatan dengan slogan “Sejenak di Perpustakaan, Selautan Ilmu Pengetahuan”.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan meluangkan masa melawat gerai pameran dan aktiviti serta melawat “My Mobile Planetarium” yang disediakan oleh pihak penganjur.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.