28 Jun 2022, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran buku Grit and Gumption – The Yusuf Brothers of Penang di The Grand Ballroom, Hotel Shangri La, Kuala Lumpur pada malam semalam.

Sesi bergambar bersama-sama Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta tetamu kenamaan diraja.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku FauziahAlmarhum Tengku Abdul Rashid disambut oleh Tan Sri Dato’ Seri Haji M. Ariffin Yusuf dan abangnya Datuk Zain Yusuf serta ahli keluarga beliau.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja menitahkan ucapan tahniah dan ucapan “Selamat Maju Jaya” atas kejayaan menerbitkan buku autobiografi mengenai pengalaman, cabaran dan kejayaan hidup M. Ariffin dan ahli keluarga A.G. Yusuf.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin yang sudah lama mengenali keempat-empat adik-beradik Yusuf Brothers ini bertitah bahawa buku ini sangat menarik untuk dibaca dan segala pengalaman dan cabaran yang dilalui oleh Yusuf Brothers ini boleh dijadikan sebagai inspirasi dan teladan yang baik.

Buku Grit and Gumption – The Yusuf Brothers of Penang

Titah baginda, “Secara sepintas lalu buku yang mengisahkan riwayat hidup keluarga A.G Yusuf ini sangat menarik. Buku ini mengandungi penceritaan setiap seorang ahli keluarga sejak kecil sehingga dewasa secara individu, hubungan kekeluargaan, cabaran semasa alam kerjaya, perniagaan, penglibatan aktiviti sosial dan kebajikan masing-masing. Kesemua keluarga Yusuf ini telah berusaha dengan gigihnya untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi masing-masing”.

Baginda turut berseloroh tentang Tan Sri Dato’ Seri Haji M. Ariffin yang lebih rapat dengan baginda berbanding dengan adik-beradiknya yang lain walaupun baginda mengenali dua orang lagi abangnya sejak zaman persekolahan di Sekolah Menengah Penang Free, kerana beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Seri Abedah Seman, iaitu seorang rakyat dari negeri baginda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.