29 Jun 2022, 20:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi bergambar Kadet PTD bersama-sama pegawai kanan DBP selepas kunjungan lawatan kerja dilakukan.

Kuala Lumpur – Sebanyak 10 orang peserta Program Diploma Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (DPA INTAN) bersama-sama pegawai kementerian mengadakan kunjungan lawatan kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengenali dan memahami fungsi DBP sebagai sebuah badan yang berperanan penting dalam mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu, hari ini.

Sesi lawatan kerja ini merupakan satu daripada aktiviti berkala yang dilaksanakan oleh INTAN kepada peserta DPA atau lebih kenali sebagai Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) untuk memberikan pendedahan awal terhadap budaya kerja perkhidmatan awam, khususnya agensi di bawah kementerian.

Sekitar taklimat berlangsung di Wisma DBP.

Sepanjang dua jam program berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, Kadet PTD diberi sesi taklimat tentang DBP, antara inti patinya termasuklah sejarah penubuhan, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan serta cabaran DBP mengharungi peredaran zaman tatkala menuju ke era teknologi pendigitalan.

Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta DPA yang terlibat dalam lawatan kerja tersebut, seterusnya mengharapkan agar pelibatan hubungan dua hala dalam memartabatkan bahasa Melayu terus disokong dan dipergiat.

Menurut beliau, JendelaDBP merupakan satu produk inovasi yang dibangunkan pada tahun 2021 rentetan pandemik COVID-19, sebagai wadah ilmu untuk masyarakat mengakses produk DBP, lantas menjadi pusat rujukan umum yang bermanfaat.

Lawatan ke Studio DBP dan penerangan diberikan oleh Ketua Editor Bahagian Multimedia.

Mengulas lebih lanjut, Ketua Editor Bahagian Multimedia, Naimah Yusof turut memaklumkan bahawa JendelaDBP dibangunkan bagi menyebarluaskan pelbagai produk penerbitan bahasa, sastera, persuratan Melayu dan budaya dalam bentuk digital yang bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Dalam kunjungan hormat tersebut, Perancang Bahasa dari Bahagian Komunikasi dan Korporat, Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh memberikan taklimat tentang korporat DBP, di samping menjelaskan signifikannya DBP dalam memperkasa dan mendaulat bahasa pada peringkat tertinggi.

Sementara itu, Perancang Bahasa dari Bahagian Perkamusan, Hairani Mohd. Khalid turut mempromosikan Kamus Dewan Perdana, yakni merupakan kamus baharu bahasa Melayu yang terbesar dan terlengkap dengan mempunyai 120 ribu entri dan subentri, serta berdasarkan lebih daripada 113 juta kata dalam data korpus DBP.

Dalam sesi taklimat terakhir, Perancang Bahasa dari Akademi DBP, Dr. Syaidul Azam Kamarudin menerangkan tentang keistimewaan Akademi DBP yang menyediakan tawaran kursus bahasa, sastera, penerbitan, teknologi maklumat, pentadbiran dan pengurusan serta kursus umum.

Selain daripada kunjungan ke Anjung DBP, rombongan Kadet PTD yang diketuai oleh Tijana Ayob, Pegawai Bahagian Pengurusan Sumber Manusia INTAN turut tidak melepaskan peluang untuk memasuki konti DBP bagi menimba ilmu dan merasai pengalaman sebagai pengacara atau penyampai, di samping memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.