30 Jun 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Ilmu yang dikongsikan dalam program Titian Kasih menekankan kepentingan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan dan sangat penting bagi melahirkan masyarakat yang responsif terhadap persekitaran dan kesejahteraan hidup,” titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan perasmian pembukaan Webinar Siri ke-10 Yayasan Tuanku Fauziah: Program Titian Kasih, yang berlangsung pada hari ini.

Pada masa yang sama, baginda menitahkan bahawa program sebegini dapat mendekatkan lagi diri dengan para pelajar dalam memberikan nasihat dan menyatakan harapan agar pelajar mampu menguasai ilmu di sekolah,  menjadi lebih fokus dan peka akan ilmu yang dikongsikan dalam program ini.

Raja Muda Perlis yang merangkap Penasihat Diraja Yayasan Tuanku Fauziah dan Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra berharap agar pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengisian Program Titian Kasih oleh ahli panel, memandangkan ilmu asas ini tidak sepenuhnya dipelajari di dalam kelas dan perlu diterapkan dalam pemikiran masing-masing.

Tuanku Raja Muda Perlis ketika bertitah dalam Webinar Siri ke-10 Yayasan Tuanku Fauziah: Program Titian Kasih.

Baginda turut bertitah,

Program Titian Kasih ini merangkumi ilmu pelajaran asas yang perlu diketahui dalam mengharungi liku kehidupan. Bersandarkan ilmu yang diperoleh pada peringkat sekolah dan yang disampaikan melalui program ini, diharapkan pelajar mengambil peluang yang ada untuk meningkatkan kualiti ilmu dan sentiasa berfikiran terbuka, serta berlapang dada dalam kehidupan kelak.

Program Titian Kasih dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman. Antara pengisian yang menarik dalam program ini termasuklah Sukan Membina Kehidupan Cemerlang; Bencana Alam dan Pengurusan Risiko; Bahaya Najis Dadah; Pencegahan Jenayah; Kesihatan Sepanjang Hayat; dan Sahsiah Cemerlang Pelajar Terbilang.

Program ini dilaksanakan secara dalam talian melalui siaran langsung di YouTube SSTP JPN Perlis, bermula pada pukul 2.00 petang hingga 6.00 petang. Pada akhir program tersebut, majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.