1 Julai 2022, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Fasa peralihan ke endemik kini telah merangsang kembali dunia untuk terus berkembang semula. Oleh itu, setiap agensi dan organisasi baik awam mahupun swasta disarankan supaya berusaha keras dalam mempromosi perkhidmatan masing-masing secara berterusan dan pada masa yang sama mempertingkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanannya kepada masyarakat dan para pelanggan walau dalam apa jua keadaan sekalipun dengan mengambil kira kemudahan teknologi kini. Jika segala perkhidmatan yang tersedia tidak digunakan semaksimum mungkin, hal ini akan menyumbang kepada suatu pembaziran.

Setiap organisasi juga perlu sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi memenuhi keperluan pelanggannya bagi mengelakkan sebarang kecaman dan tanggapan negatif masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Raja Muda Perlis. (kiri)

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat singgah menyempurnakan perasmian Projek Usahawan Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), iaitu perniagaan “Marjrod Food Truck” yang diusahakan oleh Mohd Marzulrizal Mohmad Zuki, 31 tahun dari Kampung Sentua Utan Aji. Beliau telah menerima sumbangan berjumlah RM2,000 daripada pihak Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) untuk membeli mesin pengadun bagi membuat donut dan kerusi keluli tahan karat, baru-baru ini.
Perasmian tersebut diadakan sempena program Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai oleh baginda sendiri yang turut diiringi pihak pengurusan tertinggi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd serta wakil-wakil dari Malaysia Teqball Association (MTA) dan juga Ultimate Fighting Championship (UFC) Malaysia.

Raja Muda Perlis (tengah) berkenan menyampaikan sumbangan.

Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah bagi menyempurnakan penyampaian agihan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Bakrimar Abu Bakar dari Kampung Behor Lateh, Ramli Hashim dari Kampung Titi Serong dan Aziz Ibrahim dari Kampung Titi Tok Bandar di rumah masing-masing. Pihak Al Ikhsan, MTA dan UFC Malaysia juga turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab korporat sosial (CSR) ikhlas mereka kepada golongan yang memerlukan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.