Oleh Suyuthi Yusuf
3 Julai 2022, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungkai – Program Kayuhan Tautan Kasih FGV dan MAIPs Peduli anjuran FGV Holdings Berhad telah diadakan di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak pada petang semalam. Program ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra. 

Keberangkatan baginda ke program kayuhan amal ini diiringi oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berserta barisan pengurusan kanan Felda & FGV. Turut serta dalam program tersebut ialah Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta para peserta kira-kira 150 orang termasuklah ahli Kelab Berbasikal TTG Perlis dan juga TTG Kuala Lumpur.

Program tersebut dimulakan dengan penyempurnaan penanaman sepohon pokok Durian Udang Merah oleh Tuanku Raja Muda Perlis sebagai simbolik tanda kenangan keberangkatan baginda ke Felda Gunung Besout 2.

Raja Muda Perlis (kanan) menyempurnakan penanaman pokok Durian Udang Merah.
Raja Muda Perlis bersama-sama  peserta kayuhan berdoa sebelum memulakan kayuhan.

Seterusnya selepas penyempurnaan penanaman pokok tersebut, Raja Muda Perlis bersama-sama dengan peserta progam kayuhan amal memulakan kayuhan sejauh 15 kilometer dan singgah di beberapa rumah asnaf untuk memberikan sumbangan dan bantuan.

Raja Muda Perlis bersama-sama peserta kayuhan menyantuni salah seorang asnaf yang menerima bantuan.

Raja Muda Perlis menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak.
Raja Muda Perlis bergambar kenang-kenangan bersama-sama Pengerusi FGV Holdings Berhad, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (kanan sekali).

 

Kayuhan amal tersebut tamat lebih kurang pada pukul 5:30 petang. Selepas kayuhan amal tersebut, terdapat upacara penyerahan sumbangan wang zakat dan bantuan kepada 27 orang asnaf dari Felda Gunung Besout serta sumbangan khas buku daripada DBP kepada golongan asnaf, sekolah dan masjid.

Raja Muda Perlis sedang bertitah dalam upacara penyerahan sumbangan wang zakat dan bantuan kepada golongan asnaf.
Pengerusi FGV Holdings Berhad, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab sedang memberikan ucapan.
Mufti Perlis Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sedang memberikan ucapan.
Penyerahan sumbangan wang zakat dan buku daripada FGV Holding dan DBP.

Dalam titahnya, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua bahawa hubungan bermasyarakat amatlah penting dalam mendepani segala cabaran pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana menerusi perhubungan kemasyarakatan yang erat, sebuah generasi yang seimbang dari segi moral dan intelektual akan dapat dibentuk, di samping tersemainya budaya bertolak-ansur, memahami antara satu sama lain, dan memupuk semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat tanpa mengira warna kulit, kaum dan keturunan.

Tambah baginda lagi, melalui pendekatan bersemuka sambil beramah mesra seperti yang dapat dilihat dalam program tersebut akan memberikan peluang kepada semua pihak terutamanya FGV dan FELDA dalam menguatkan lagi hubungan kemasyarakatan dan sosial dengan komuniti di sekitar kawasan operasi syarikat mereka.

Oleh itu, baginda amat menggalakkan lebih banyak lagi syarikat korporat seperti FGV untuk tampil meneruskan aktiviti kemasyarakatan agar semua pihak khususnya golongan yang memerlukan dapat turut sama merasai sedikit limpahan ‘nikmat’ yang dikecapi oleh syarikat korporat ini.

Selain itu, Mufti Perlis, Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin juga memberikan penghargaan kepada pihak FGV kerana turut sama melakukan aktiviti kemasyarakatan serta menekankan betapa pentingnya program seperti ini dalam mengeratkan hubungan sesama manusia serta dapat memupuk nilai persaudaraan dan tanggungjawab sosial.

Program penuh bermakna kepada penduduk setempat itu berakhir dengan jamuan makan malam dan sembahyang maghrib secara berjemaah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.