Oleh Mubarak Ismail
4 Julai 2022, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Genting Highlands – “Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang dalam proses meneliti, mengkaji dan mencari pendekatan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza, paling sesuai dan tepat untuk menangani tahap penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar di negara ini,” ujar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Genting Highlands.

Menurut Dr. Radzi Jidin, masalah tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah wujud sejak sebelum pandemik COVID-19 melanda negara. Oleh itu, isu tersebut perlu diberikan perhatian yang sewajarnya kerana terdapat segelintir pelajar yang masih tidak berupaya membaca dengan baik walaupun sudah memasuki peringkat sekolah menengah.

Bagi menangani perkara ini, beliau bersama-sama dengan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Hajah Nor Zamani Abdol Hamid akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan untuk merangka pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih komprehensif bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan efektif serta program intervensi literasi awal untuk kanak-kanak istimewa dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Datuk Dr. Radzi Jidin ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Genting Highlands.

Jelas beliau lagi, isu berkenaan mula berbangkit apabila pihak KPM mengadakan pertemuan dengan para guru sekolah menengah di lapangan bagi mendengar permasalahan pelajar dalam menguasai literasi yang merangkumi keupayaan membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat yang mudah serta kompleks dalam bahasa Melayu dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.

Dalam majlis yang sama, Dr. Radzi Jidin turut menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum tentang dakwaan terdapat guru yang terpaksa menipu dalam memberikan pemarkahan kepada para pelajar semata-mata demi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Masyarakat harus faham bahawa tindakan guru terbabit ialah satu perkara yang subjektif kerana mereka turut berhadapan dengan pelbagai tekanan dalam sistem pendidikan. Manakala ulasan dan pemarkahan yang diberikan oleh guru adalah berdasarkan justifikasi mereka yang mengasuh, mendidik dan berhadapan dengan para pelajar pada setiap hari. Justeru, mereka lebih kenal dan arif tentang hakikat setiap pelajar yang dinilai. Oleh hal yang demikian, tidak wajar dan tidak adil untuk menuduh guru-guru menipu dalam memberikan markah penilaian. Walau bagaimanapun, pihak KPM mengambil cakna tentang hal ini dan akan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah ini,” kata Dr. Radzi Jidin.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengarah Institut Aminuddin Baki, Dato’ Dr. Tajuddin Mohd. Yunus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.