15 Julai 2022, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kurma atau tamar ialah sejenis buah daripada tumbuhan palma atau nama saintifiknya  Phoenix dactylifera. Pokok kurma dalam  bahasa  Arab  disebut  sebagai nakhl, manakala  buahnya  yang matang dipanggil tamar. Pokok kurma hidup subur di persekitaran yang kering dan berpasir, terutamanya di Mesir, Arab Saudi dan negara Timur Tengah. Pokok kurma mengambil masa empat hingga tujuh tahun selepas ditanam untuk berbuah.  Buahnya boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Terdapat lima peringkat kematangan buah kurma, iaitu hababauk, kimri, khalal, rutob (kurma basah) dan tamar (kurma kering). Terdapat lebih daripada 200 jenis kurma yang terdapat di seluruh dunia. Antara jenis kurma yang popular di Malaysia ialah kurma ajwa, medjoul, safawi, mabroom, deglet nour dan mariami. Pengambilan buah kurma dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia termasuk di Malaysia sudah tidak asing lagi, terutamanya sebagai hidangan berbuka puasa dalam bulan Ramadhan sebagai memenuhi tuntutan sunnah. Dalam kalangan penduduk di negara Arab, kurma merupakan makanan utama mereka. Selain dari rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai banyak khasiat dan disukai oleh Rasulullah s.a.w.

 

Khasiat Kurma Menurut Al-Quran dan Hadis

Kurma mempunyai nilai yang sangat penting dalam agama Islam. Terdapat 20 ayat al-Quran daripada 17 surah yang menyebut tentang pohon kurma dan buah kurma, antaranya ialah nasihat kepada Mariam semasa dalam kesakitan di saat hendak bersalin ketika mengandungkan Nabi Isa, melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan goncanglah pangkal pohon kurma ke arahmu pasti pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan” (Al-Quran, 19: 25-26).

Kurma ialah antara jenis buah atau makanan kegemaran Rasulullah s.a.w. Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w., berkata: “Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada hanyalah buah tamar dan air.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, penghuninya kelaparan”. (Hadis Riwayat Muslim (no: 2046).

Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. berkaitan dengan kebaikan buah kurma, antaranya ialah  yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : “Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya (Said bin Abi Waqash) meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa setiap pagi  memakan tujuh biji kurma Ajwa, maka pada hari itu ia akan terhindar dari racun dan sihir”. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5025).

Anas ibn Malik berkata, “Bahawasanya Rasulullah  s.a.w  berbuka  puasa  dengan  beberapa  biji  rutob sebelum   solat,   jika   tiada rutob,   maka   Rasulullah   akan mengambil tamar, jika tiada baginda akan meminum air (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi). Hadis  ini  menerangkan  hikmah memakan  kurma  dahulu  ketika  berbuka  puasa kerana kurma berupaya memberi tenaga segera.

 

Khasiat Kurma dari Perspektif Sains Kesihatan

  • Kurma tinggi tenaga, nutrien dan antioksida

Kurma mengandungi banyak vitamin dan mineral penting, dan kandungan mineral dalam kurma kering boleh berbeza dari 0.1 hingga 916 mg/100 gram. Kurma mengandungi paras selenium, kuprum, kalium dan magnesium yang tinggi, kepekatan mangan, besi, fosforus dan kalsium yang sederhana serta boron dalam kuantiti yang kecil. Varieti kurma juga didapati sebagai sumber selenium yang sangat baik. Kandungan kalium yang tinggi dan rendah natrium dalam kurma sesuai untuk mereka yang menghidap hipertensi. Boron berguna dalam rawatan kanser otak. Boron dan vitamin juga digunakan dalam rawatan reumatik. Kurma boleh digunakan sebagai suplemen untuk kekurangan zat besi tanpa sebarang kesan sampingan seperti loya, sakit kepala dan anoreksia yang mungkin berlaku dengan suplemen tablet besi.

Kurma juga kaya dengan pelbagai vitamin.  Berbanding buah-buahan kering yang lain, kurma boleh dianggap sebagai sumber vitamin yang baik. Kurma segar mengandungi kepekatan vitamin yang lebih tinggi berbanding kurma kering kerana vitamin akan hilang semasa proses pengeringan. Kurma kering boleh dianggap sebagai sumber sederhana vitamin ribofavin, piridoksin, niasin dan asid folik. Thiamin, asid askorbik (vitamin C), dan vitamin A terdapat dalam kepekatan yang agak rendah dalam kurma kering.

Kurma ialah sejenis buah yang tinggi nutrien berbanding dengan buah-buahan lain yang biasa diambil oleh manusia. Kurma merupakan makanan tunggal yang bukan sahaja berfungsi sebagai buah, tetapi juga sebagai makanan ruji (seperti nasi dan gandum) yang boleh membekalkan keperluan tenaga harian. Selain itu, kurma juga tinggi antioksida yang bertindak sebagai teraputik dalam mengawal pelbagai jenis penyakit seperti penyakit akibat jangkitan kuman, kanser dan diabetes.

 

  • Kurma tinggi serat

Selain tinggi vitamin dan mineral, buah kurma ialah sumber yang kaya dengan fiber atau serat, iaitu 6.4% hingga 11.5% bergantung kepada jenis dan tahap kemasakan. Pengambilan 100 gram kurma setiap hari dapat memenuhi 32% daripada saranan pengambilan serat harian. Serat mempunyai banyak manfaat teraputik termasuklah menurunkan aras kolesterol darah dan risiko banyak penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, kanser kolon, dan penyakit jantung.

 

  • Kurma mengandungi gula semula jadi yang tinggi dan tenaga segera

Karbohidrat terutamanya gula dalam bentuk semula jadi (sukrosa, glukosa dan fruktosa) merupakan komponen utama buah kurma yang meliputi sehingga 78%. Kandungan glukosa, fruktosa dan sukrosa dalam julat masing-masing ialah 29.04 hingga 34.53 g/100 g, 20.72 hingga 23.65 g/100 g, dan 1.86 hingga 2.34 g/100 g. Gula semula jadi di dalam kurma mudah dihadamkan dan melalui proses metabolisme untuk ditukarkan kepada tenaga untuk kegunaan tubuh manusia. Keadaan ini amat sesuai dengan sunnah Rasullullah s.a.w. yang menggalakkan umat Islam yang berpuasa, berbuka puasa dengan kurma kerana kurma menyediakan tenaga segera selepas lebih kurang 14 jam berpuasa.

 

  • Kurma mempunyai nilai indeks glisemik yang rendah

Indeks glisemik (GI) ialah sistem pengelasan makanan berdasarkan kepada berapa cepat makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan paras gula (glukosa) dalam darah seseorang selepas makanan tersebut dimakan. Suatu makanan dikelaskan mengikut indeks glisemik sama ada glisemik rendah (nilainya kurang daripada 55), sederhana (55 – 69) atau tinggi (70 atau lebih). Kajian mendapati buah kurma termasuk dalam makanan yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah, iaitu antara 35.5 hingga 47.2. Nilai GI buah kurma pula adalah setanding atau lebih rendah berbanding dengan buah epal (GI=36), pisang (GI=53), limau oren (GI=43), dan buah kiwi (GI=53).

Satu kajian yang diketuai oleh Dr. Juma M Alkaabi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2011 telah membandingkan nilai GI antara kumpulan pesakit diabetis jenis 2 dan kumpulan kawalan selepas diberi makan lima varieti buah kurma dalam kuantiti 50 g karbohidrat sehari pada hari yang berlainan. Kajian mendapati tiada perbezaan signifikan nilai GI di antara kedua-dua kumpulan untuk kelima-lima jenis buah kurma tersebut. Kajian juga mendapati pengambilan kelima-lima jenis kurma oleh pesakit diabetes tidak menyebabkan peningkatan glukosa darah post-prandial.

Buah kurma dapat mengawal aras glukosa darah dan memberi manfaat kepada pesakit diabetes kerana ia mempunyai nilai GI yang rendah di samping tinggi serat dan antioksida. Kesan GI yang rendah adalah dikaitkan dengan kandungan fruktosa yang tinggi di dalam buah kurma. Kajian mendapati nisbah glukosa – fruktosa adalah 1.2 di dalam rutab dan 1.1 di dalam kurma.

 

  • Kurma membantu mengawal tekanan darah dan penyakit jantung

Kurma mengandungi mineral tinggi seperti selenium, copper, potassium dan magnesium, sederhana kandungan manganese, zat besi, phosphorus dan kalsium serta mengandungi kuantiti boron yang sedikit. Kandungan magnesium dan potassium yang tinggi serta sodium yang rendah di dalam kurma sesuai dalam mengawal tekanan darah. Peranan magnesium dikatakan dapat meningkatkan keberkesanan ubat yang digunakan untuk mengawal tekanan darah. Tekanan darah yang tinggi merupakan faktor risiko utama terhadap penyakit jantung.

 

  • Kurma dapat mencegah dan mengawal penyakit kanser

Kesemua jenis kurma didapati kaya dengan antioksida, terutamanya poliphenol dan jumlah flavonoid. Satu kajian di negara China melaporkan bahawa kurma ialah buah yang kedua tertinggi dari segi kandungan antioksida daripada 28 buah-buahan yang biasa diambil di China. Berbanding dengan jenis buah kering yang serupa, contohnya buah plum kering dan buah tin, kurma mempunyai kandungan antioksida yang tertinggi, terutamanya polyphenol. Flavonoid pula termasuk dalam kumpulan polyphenol, sejenis antioksidan yang berperanan penting dalam mencegah dan mengawal penyakit kanser. Selain itu kurma dilaporkan mengandungi beta D-glucan yang juga berperanan sebagai antitumor yang boleh mencegah pembentukan sel kanser.

 

  •  Pengambilan kurma memudahkan proses bersalin

Tempoh masa yang panjang semasa proses bersalin merupakan penyebab kepada 8% kematian wanita semasa bersalin di negara sedang membangun. Buah kurma dikatakan dapat membantu memudahkan proses kelahiran ketika hampir bersalin. Satu kajian yang diketuai oleh Dr. Al-Kuran  dari Universiti Sains dan Teknologi Jordan, telah mengkaji kesan pengambilan kurma terhadap prestasi semasa bersalin. Seramai 69 orang ibu mengandung diberi makan 6 biji kurma setiap hari selama 4 minggu sehingga tarikh jangkaan bersalin, dan 45 orang ibu mengandung tidak diberi makan buah kurma. Didapati purata bukaan pintu rahim lebih besar dalam kalangan ibu yang mengambil buah kurma (3.52 cm berbanding 2.02 cm) semasa dimasukkan ke dalam wad,  serta keupayaan bersalin secara normal adalah 20% lebih tinggi dan tempoh bersalin adalah lebih pendek dan signifikan berbanding dengan mereka yang tidak mengambil buah kurma. Penemuan tersebut diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology, Jilid 31, tahun 2011.

Dalam penemuan lain yang diketuai oleh Dr. Masoumeh Kordi dari Fakulti Perubatan Universiti Mashhad, Iran, kajian telah dilakukan ke atas 91 orang ibu mengandung yang diberi makan 70 hingga 76 gram buah kurma setiap hari bermula minggu ke-37 hingga waktu bersalin (kumpulan intervensi), dan 91 orang ibu mengandung yang lain tidak diberi makan buah kurma (kumpulan kawalan).  Kajian tersebut mendapati jangka masa fasa aktif, fasa kedua dan fasa ketiga untuk kes kelahiran secara biasa bagi kumpulan intervensi adalah lebih pendek (signifikan) berbanding dengan kumpulan kawalan. Kajian tersebut menyimpulkan bahawa pengambilan buah kurma pada beberapa minggu terakhir tempoh mengandung adalah berkesan dalam membantu pembukaan pintu rahim (cervical dilation), memendekkan masa proses bersalin dan mengurangkan keperluan oksitosin yang digunakan untuk mempercepatkan proses bersalin atau kelahiran secara “induce”. Penemuan ini diterbitkan dalam Iranian Journal of Nursing Midwifery Research, tahun 2017.

 

Amalan pengambilan buah kurma di Malaysia

Pengambilan buah kurma amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada bulan Ramadhan, tetapi tidak berterusan atau sangat rendah di luar bulan Ramadhan. Dalam satu kajian ke atas pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kelantan, didapati kekerapan pengambilan buah kurma dalam kalangan pelajar IPT dalam bulan Ramadhan adalah tinggi, iaitu lebih 80% mengambil pada kekerapan 1 hingga 3 kali sehari. Keadaan ini adalah selaras dengan tuntutan sunnah berbuka puasa dengan buah kurma.  Walau bagaimanapun pengambilan buah kurma setiap hari di luar bulan Ramadhan adalah sangat rendah, iaitu 6.8% hingga 15.6%.

Kajian lain dalam kalangan orang dewasa dalam sebuah komuniti di Selangor melaporkan amalan pengambilan buah kurma adalah rendah, iaitu cuma 17% responden mengambil pada setiap hari di luar bulan Ramadhan dan 35% mengambil buah kurma pada bulan Ramadhan.

Buah kurma kaya dengan tenaga, nutrien dan antioksida serta mempunyai banyak kebaikan ke atas kesihatan. Kebaikan buah kurma juga disebut dalam al-Quran dan hadis. Oleh itu, pengambilan buah kurma tidak seharusnya menjadi amalan pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi perlu diambil sepanjang tahun kerana buah kurma termasuk dalam kategori buah-buahan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya setiap orang dewasa mengambil sekurang-kurangnya dua sajian buah-buahan setiap hari bagi mencegah penyakit kronik. Laporan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun 2019 mendapati 94.9% orang dewasa di Malaysia tidak mengambil buah-buahan yang cukup setiap hari.  Pihak kerajaan, NGO, ibu bapa dan individu perlu mengambil langkah yang sesuai untuk menggalakkan pengambilan buah kurma dan buah-buahan yang lain dalam kalangan komuniti dan keluarga di negara ini secara berterusan.

 

Penulis, Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.